IVANOVIC (kiri) jaring gol pertama Blues.
IVANOVIC (kiri) jaring gol pertama Blues.

London: Jurulatih pasukan utama Chelsea Steve Holland menyokong Cesc Fabregas dan Diego Costa untuk memenangi kembali hati penyokong selepas mereka diejek ketika menang 3-1 ke atas Sunderland.

Peminat kelab barat London itu mengejek dua pemain itu sebaik nama mereka disebut sebelum perlawanan kelmarin dan apabila mereka digantikan menjelang akhir perlawanan.

Mereka juga berulang kali bersorak menyokong Jose Mourinho yang dipecat dan digantikan pengurus sementara Guus Hiddink serta mempamerkan pemidang tertulis: “Anda kecewakan Jose, anda kecewakan kami.”

“Saya memberitahu pemain apa saja perasaan mereka berhubung situasi ini, mereka mempunyai tanggungjawab untuk kelab bola sepak dan penyokong,” kata Holland yang mengendalikan pasukan sementara Hiddink menonton dari bangku penonton.

“Kami mempunyai pemain berkualiti dan mereka peduli. Saya bukanlah pakar media sosial jadi saya tidak tahu sebab sebenarnya tapi jelas sekali peminat mempunyai hak menyuarakan pandangan mereka. Saya gembira dapat menanganinya dan terus melangkah.

“Saya belum bercakap dengan pemain terbabit. Pada pandangan saya, saya gembira dengan sumbangan mereka bagi perlawanan ini dan memuji mereka.

“Jika pemain beraksi seperti hari ini (Sabtu), tiada sebab mengapa penyokong tidak gembira dengannya.”

Jaringan Branislav Ivanovic, Pedro Rodriguez dan Oscar menerusi penalti, menyaksikan Chelsea menamatkan aksi tiga perlawanan liga tanpa kemenangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:07 AM