Agensi

Hanya 39 saat diperlukan untuk Chelsea membenam gol pertama ke atas Norwich sebelum menang 2-1 awal bulan ini dan gol itulah yang menjulang nama Kenedy (gambar), bintang baru Blues dari Brazil.

Pemain berusia 20 tahun itu melakukan rembatan kencang dengan kaki kirinya ke gawang yang gagal dikawal baik penjaga gol Norwich John Ruddy, selepas memperdayakan dua pertahanan untuk menyambut hantaran Eden Hazard dan meledak gol pembukaan Chelsea.

Ternyata sumbangan Kenedy, yang dinamakan bapanya sempena Peguam Negara Amerika Syarikat, Robert Francis Kennedy membalas kepercayaan yang diletakkan pemangku pengurus Guus Hiddink terhadap pemain muda sepertinya selain Bertrand Traore.

Selepas dibawa masuk Jose Mourinho dari Fluminense Ogos lalu, peluang Kenedy semakin terbuka di bawah kendalian Hiddink.

Apatah lagi, selepas jaringan itu saham Kenedy dan pemain remaja sepertinya mula naik.

“Mereka sedang menanti peluang. Mereka bekerja dengan serius sewaktu latihan dan anda perlu menurunkan mereka terutamanya ketika jadual padat,” kata Hiddink.

“Mereka perlukan pengalaman bermain dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang sengit sejak awal lagi jadi saya tidak ragu-ragu menurunkan mereka.”

Apa yang pasti Kenedy, atau nama sebenarnya Robert Kenedy Nunes do Nascimento kini mengecapi peluang terindahnya sebagai pemain Chelsea malah gembira dapat beraksi seiringan dengan bintang ternama kelab itu.

“Saya gembira dapat berpindah ke Chelsea,” katanya dalam wawancara pertamanya bersama kelab itu.

“Menyertai pasukan juara Liga Perdana Inggeris adalah detik paling indah bagi saya dan berharap dapat menjadi pemain penting buat kelab.

“Saya benar-benar menikmati masa bersama skuad itu pada aksi pramusim dan berterima kasih kepada Fluminense kerana memberikan peluang ini kepada saya.

“Deco, Oscar, Willian, Ramires... Saya pernah memainkan karakter mereka dalam Playstation, kini saya berada bersama mereka. Ia memang sesuatu yang mengujakan.”

Namun, pemain yang turut mewakili skuad Bawah-20 Brazil itu mengakui perlu bersabar untuk memastikan dia benar-benar bersedia menyarung jersi Blues.

Penampilan pertamanya bersama Chelsea hadir tidak lama selepas dibawa masuk menggantikan Cesar Azpilicueta ketika tewas 1-2 kepada Crystal Palace.

Gol sulungnya hadir sebulan kemudian, membantu kelabnya menewaskan Walsall 4-1 dalam aksi Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:04 AM