MOURINHO
MOURINHO
GELAGAT seorang peminat cilik United.
GELAGAT seorang peminat cilik United.
AFP

Manchester, England: Jose Mourinho menerima sambutan hangat ketika menyaksikan perlawanan amal dari bangku penonton pada penampilan sulungnya di Old Trafford sejak dilantik sebagai pengurus Manchester United.

Hanya sembilan hari selepas pengesahan rasmi pelantikan Mourinho, pengurus berusia 53 itu berada di Manchester untuk memberi sokongan kepada Unicef, yang memanfaatkan perlawanan persahabatan Soccer Aid untuk mengutip derma bagi membantu kanak-kanak yang berdepan bahaya di seluruh dunia.

Bekas pengurus Chelsea itu pada mulanya bersetuju menguruskan pasukan ‘England’ terdiri daripada bekas pemain antarabangsa, ahli muzik, pelakon dan selebriti manakala pasukan ‘Dunia’ dikendalikan pengurus Leicester, Claudio Ranieri yang terdiri daripada legenda yang sudah bersara.

Namun, disebabkan perpindahannya ke United, Mourinho memutuskan untuk mengendalikan perlawanan kelab itu menentang Everton dalam perlawanan penghargaan terhadap Wayne Rooney, 3 Ogos ini.

Pengurus Sunderland Sam Allardyce sebaliknya mengendalikan perlawanan itu, manakala Mourinho memerhatikan dari tempat duduk pengarah ketika England menang 3-2.

“Saya minta maaf tidak dapat membabitkan diri sepenuhnya malam ini, tapi sangat gembira dan terbabit dalam tugas awal di Manchester United dan saya sering menganggap masanya sudah tiba untuk bekerja,” tulis Mourinho dalam buku program perlawanan.

“Namun, saya sukakan pemain di Soccer Aid, suasana dan terutama sekali kempennya, saya tidak boleh terlepas perlawanan ini.”

Ramai peminat menanti di luar Old Trafford untuk menyambut kedatangan Mourinho apabila beliau turun dari bas pasukan England dan segelintir peminat mempamerkan sepanduk dan pemidang yang tertera namanya.

Mourinho yang dilantik menggantikan Louis van Gaal menerusi kontrak tiga tahun menerima sorakan hebat penyokong, ada yang membeli skaf yang tertera nama dan wajah pengurus baharu United itu dan pengurus kelahiran Portugal itu tidak mengambil masa lama untuk membiasakan diri.

Pele adalah tetamu kehormat Unicef dan Mourinho memuat naik gambar di akaun Instagram, menunjukkan dirinya dan legenda Brazil itu bersalaman di depan logo Manchester United di terowong pemain.

Keterangan gambar Mourinho itu tertulis: “Satu penghormatan untuk menyambut Pele di rumah baharu saya” dan turut memuat naik gambarnya berada di terowong sambil memandang ke padang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:33 AM