PEDRO (kanan) jaring dua gol buat Chelsea.
PEDRO (kanan) jaring dua gol buat Chelsea.

London: Chelsea akhirnya mempamerkan aksi setaraf juara untuk membelasah Newcastle United 5-1 sekali gus memberikan Guus Hiddink kemenangan pertama di laman sendiri pada saingan Liga Perdana Inggeris sejak kembali sebagai pemangku jurulatih.

Biarpun mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan dalam semua kejohanan sejak Hiddink dilantik sebagai pemangku jurulatih selepas pemecatan Jose Mourinho, Chelsea tidak pernah menampilkan aksi meyakinkan terutama di Stamford Bridge yang menyaksikan mereka seri lima perlawanan.

Berdepan Newcastle yang sering bertahan, jentera serangan Chelsea terus membedil kubu lawan menerusi jaringan pemain bertopeng Diego Costa, Pedro dan Willian dalam tempoh 20 minit pertama.

Pedro dan Bertrand Traore menambah jaringan pada separuh masa kedua ketika Chelsea turut bersiap sedia untuk aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Paris St Germain di tempat lawan awal pagi Rabu.

“Kami tidak pernah tewas sejak Disember tapi ia bukan sesuatu yang membanggakan kerana terlalu banyak seri. Kami mahukan rekod tanpa kalah menerusi kemenangan dan itu sebabnya mengapa keputusan ini begitu baik,” kata Hiddink, ketika pasukannya kini berada di tangga ke-12 liga.

“Kami cuba mengejutkan mereka pada awal babak perlawanan dan berjaya melakukannya menerusi dua gol cantik dan aksi 20 minit itu menentukan kejayaan kami.”

Costa yang bermain memakai topeng pelindung selepas patah hidung sewaktu latihan, kelihatan seperti pemain yang menakutkan pertahanan musim lalu manakala Pedro yang dikatakan tidak menepati nilai pembeliannya, sejak berpindah dari Barcelona, menikmati aksi terbaiknya sebagai pemain Chelsea.

Jaringan pertama Pedro dilakukan dengan penyudah bergaya selepas dia berlari melepasi pertahanan manakala jaringan kedua hadir selepas pemain itu menyambut hantaran Cesc Fabregas.

Hiddink yang membawa Chelsea menjulang Piala FA selepas menjadi jurulatih sementara pada 2009, memuji aksi Costa. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 7:04 AM