Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini, mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj).

Ia membawa bersama ombak setinggi 3.5 meter ke perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak yang dijangka berterusan sehingga esok.

Selain itu, angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj bersama ombak sehingga 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Sabah (Kudat, Pantai Barat serta pedalaman) dan Wilayah Persekutuan Labuan juga dijangka berterusan dalam 24 jam akan datang.

Menurut laman web MetMalaysia, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur masih lagi terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Ribut petir yang berlaku di perairan Sarawak dan Sabah (Kudat dan Sandakan) juga dijangka berterusan sehingga petang ini.

Keadaan itu merbahaya kepada bot kecil, perkhidmatan feri serta kegiatan rekreasi atau sukan laut.

Dalam pada itu, amaran hujan lebat (peringkat jingga) yang dikeluarkan MetMalaysia, semalam, untuk Sarawak sudah ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 11:44 AM