GAMBAR hiasan. BERNAMA
GAMBAR hiasan. BERNAMA
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kategori pertama hingga ketiga di beberapa negeri hingga Rabu ini yang berbahaya kepada aktiviti pantai dan laut.

METMalaysia berkata, bagi seksyen A iaitu untuk perairan negara, amaran kategori pertama dijangkaangin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m).

Menurutnya, lokasi yang dijangka berhadapan amaran itu ialah kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga Rabu ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

"Kenaikan paras air laut dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula esok hingga Selasa serta ia berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai," katanya dalam catatan di Facebooknya,hari ini.

Menurut catatan itu,bagi seksyen B iaitu untuk perkapalan, amaran sama kategori ketiga iaitu angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5m dijangka di kawasan perairan Condore, utara Bunguran dan barat Reef North sehingga Rabu ini.

Katanya, keadaan angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

"Amaran kategori kedua, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 m.

"Situasi itu dijangka di kawasan perairan Samui, Tioman, selatan Bunguran, timur Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan barat Palawan juga hingga Rabu serta berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya.

Katanya, amaran kategori pertama bagi seksyen B, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 m dijangka di kawasan perairan timur Palawan dan Sulu juga sehingga Rabu yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, METMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) yang dijangka berlaku di Sarawak iaitu membabitkan Kuching, Serian,Samarahan dan Mukah sehingga Isnin ini.

Katanya, amaran hujan berterusan (waspada) pula diramal berlaku di Perak membabitkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Selain itu, ramalan sama turut dijangka berlaku di Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula Selasa ini hingga Rabu.

"Di Sarawak membabitkan Sri Aman, Betong, Sibu Sarikei dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) sehingga Isnin, manakala Sabah pula di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat dalam tempoh bermula Ahad sehingga Isnin.

"Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan lebih 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

"Manakala untuk waspada apabila ada tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 4:35 PM