PEMANDANGAN bandar Kuantan ketika waktu hujan, semalam. Kawasan sekitar Kuantan dilaporkan menerima taburan hujan berterusan sejak kelmarin. FOTO Farizul Hafiz Awang
PEMANDANGAN bandar Kuantan ketika waktu hujan, semalam. Kawasan sekitar Kuantan dilaporkan menerima taburan hujan berterusan sejak kelmarin. FOTO Farizul Hafiz Awang
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat Peringkat Jingga di beberapa kawasan di Hulu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, sepanjang hari ini.

Kawasan berkenaan adalah Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Hulu Terengganu, Dungun, Kemaman, semua daerah di Pahang, Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Kulaijaya dan Johor Bahru.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur juga masih terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga Jumaat ini.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang serta laut bergelora (kategori pertama) dengan kelajuan angin sekitar 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) bersama ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka melanda kawasan berkenaan termasuk Sabah (Kudat dan Kota Kinabalu) dan Sarawak.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai.

Sementara itu, tiada tanda sistem siklon tropika dicerap di dalam pemantauan MetMalaysia, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 1:05 PM