MASTILA bersama barangan kait untuk majlis perkahwinan yang dihasilkannya.
MASTILA bersama barangan kait untuk majlis perkahwinan yang dihasilkannya.
BUNGA tangan dan kusyen pengantin yang dikait.
BUNGA tangan dan kusyen pengantin yang dikait.
ANTARA barangan kait yang dihasilkan Mastila.
ANTARA barangan kait yang dihasilkan Mastila.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Cenderahati, hantaran mahupun prop perkahwinan menggunakan barangan kait kini semakin mendapat permintaan ramai. Satu ketika dulu seni kait banyak tertumpu kepada barangan hiasan rumah seperti alas meja, penyeri sofa, bekas tisu atau pelapik gelas. Bahkan ada yang tekun mengait untuk menghasilkan penghias cadar pengantin supaya tampil unik.

Kini seni kait tidak terhad kepada hiasan rumah saja kerana rekaannya sudah diubah suai mengikut cita rasa moden. Kalau dulu ia dijadikan bekas telur untuk diberikan kepada tetamu, tetapi masyarakat hari ini menggunakan barangan kait untuk menghasilkan hantaran perkahwinan dan prop (hiasan) persandingan.

Bagi pemilik Mama’s Crochet House, Mastila Ezny Kamarudin, penerimaan terhadap barangan kait kini semakin mening­kat apatah lagi rekaannya tampak lebih unik dan eksklusif.

“Barangan kait dihasilkan menggunakan sentuhan kreatif tangan pembuatnya. Justeru, tidak akan ada rekaan atau koleksi yang sama dihasilkan individu lain kerana ia bergantung kepada kemahiran pengait itu sendiri.

“Pada masa sama, idea pelanggan atau pengait akan membuatkan koleksi ditampilkan menjadi lebih menarik untuk disesuaikan dengan tema majlis perkahwinan yang dilangsungkan,” katanya.

Jelas Mastila, barangan kait untuk prop perkahwinan seperti bunga tangan yang dihasilkannya sendiri akan dikait sepenuhnya mengikut kreativiti dan rekaan diinginkan pelanggan.

Bagi menjadikan rekaan bunga tangan tampak lebih berseri dan hidup, ia akan ditambah dengan hiasan manik atau mutiara yang boleh dipilih mengikut tema diinginkan.

Mastila akan mengait bunga sekuntum demi sekuntum sebelum ia digabungkan menjadi sejambak bunga tangan yang menarik. Idea dan tarikan bunga tangan yang dikait mula menjadi perhatian apabila dia menyiapkan prop perkahwinan untuk majlis persandingan sepupunya. Selepas itulah seni kait warisan budaya zaman berzaman ini mula mencuri perhatian semula.

Bukan hanya bunga tangan, malah Mastila turut membuat bantal pelamin dan menghias pondok foto dengan seni kait. Selain itu, ada juga barangan hantaran yang disiapkan meng­gunakan kaedah mengait bagi memberi keunikan dan kelainan dalam majlis perkahwinan.

“Saya juga membuat bekas telur, bunga rampai dan cincin selain beg hadiah kait. Ramai yang mahu menggunakan barang kait di majlis perkahwinan mereka kerana menganggap ia barangan yang istimewa dan menarik.

“Ia juga mengembalikan nostalgia terutama kepada individu yang sudah biasa dengan kehadiran barang kait ketika kecil dulu. Bermula dengan hanya satu idea iaitu bunga tangan, koleksi barang kait ini dikembangkan kepada rekaan lain,” katanya.

Ujarnya, setiap rekaan memerlukan ketelitian untuk menyiapkannya. Misalnya, bekas bunga rampai mempunyai kerumitan tersendiri sepanjang proses menghasilkannya bagi mendapatkan tekstur kait yang kemas dan keras.

Untuk menghasilkan bekas bunga rampai, Mastila menggunakan benang halus sebelum ia direndam dengan air gula yang panas. Kemudian, bekas berkenaan akan dibakar dalam ketuhar untuk mendapatkan tekstur­nya yang keras.

Semua idea berkenaan dipelajari dan diperoleh sendiri melalui laman YouTube sebelum dicuba dan mendapatkan hasil yang diinginkan pada bekas potpuri atau bunga rampai.

Barangan kait ini sangat sesuai dijadikan aksesori ataupun hadiah untuk tetamu di majlis perkahwinan kerana ia tahan lama dan boleh dicuci untuk disimpan sebagai kenangan.

Namun, bagi memastikan barangan kait tampak seperti masih baru, ia perlu disimpan dan dielakkan daripada sinaran cahaya matahari yang terik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 4:46 AM