PUTEH menjadikan aktiviti mengait salah satu pendapatan.
PUTEH menjadikan aktiviti mengait salah satu pendapatan.
Hafiz Ithnin

Wanita berusia 52 tahun ini tekun mengait benang bulu pelbagai rona miliknya. Hasil sentuhan kreatif anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu bukan sekadar mendapat sambutan peminat tas kait di Malaysia, malah bersayap sehingga ke luar negara.

Mempunyai latar belakang pendidikan dalam ijazah pengajian perumahan, bangunan dan perancangan perumahan, bangunan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Datin Che Puteh Ismail tidak menyangka karya mengait itu menjadi satu kerjaya selepas kira-kira tujuh tahun berada dalam dunia korporat.

Segala-galanya bermula apabila dia yang lebih mesra di sapa Puteh menjadi suri rumah sepenuh masa dan melihat mengait hanya satu aktiviti mengisi waktu lapang.

PELBAGAI jenis benang kait digunakan untuk menghasilkan sebuah beg tangan.
PELBAGAI jenis benang kait digunakan untuk menghasilkan sebuah beg tangan.

Pada usia sembilan tahun sebenarnya Puteh sudah didedahkan dengan cara mengait kerana melihat kakaknya melakukan aktiviti itu. Namum, selepas 20 tahun baharu dia mempraktikkan semula kemahiran berkenaan.

Katanya, ketika memulakan aktiviti mengait dia hanya membuat tas tangan untuk anak-anaknya dan tidak terfikir untuk dikomersialkan.

"Kemudian saya semakin seronok dengan hasil mengait beg ini, saya membuat pula pakaian bayi. Namun, pakaian bayi tidak mendapat sambutan menggalakkan berbanding beg tangan.

"Akhirnya saya mula mencari idea dengan mencipta pola beg sendiri dan dari masa ke masa ia mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja pembeli dari Malaysia, malah dari luar negara," katanya.

ANTARA beg tangan kait yang mendapat sambutan.
ANTARA beg tangan kait yang mendapat sambutan.

Puteh berkata, setahun dia mampu menghasilkan sekitar 1,000 beg tangan yang dikait untuk dijual dan setiap satu beg berkenaan mempunyai rekaan tersendiri dan eksklusif.

"Bagi mendapatkan idea saya sering ke pusat beli-belah dan melihat rekaan beg yang dihasilkan penjual.

"Saya perhatikan dengan teliti setiap bentuk dan rekaan itu dicambah kepada idea rekaan yang baharu. Ertinya saya tidak akan meniru beg yang dilihat itu, tetapi menghasilkan satu inovasi rekaan yang baharu," katanya.

ANTARA rekaan eksklusif beg kait dihasilkan Che Puteh.
ANTARA rekaan eksklusif beg kait dihasilkan Che Puteh.

Katanya, menghasilkan beg tangan yang dikait bukan sesuatu yang mudah kerana kadangkala perlu diubah beberapa kali untuk mendapatkan rekaan yang diinginkan.

"Memang kelihatan seperti mudah, hakikatnya kadangkala saya perlu berkali-kali memperbaiki sesuatu rekaan yang ingin dihasilkan.

"Jadi, apabila berjaya menghasilkan sesuatu rekaan itu, saya akan mengeluarkan pola supaya boleh digunakan pada masa depan dan dijual kepada orang lain," katanya.

PELBAGAI jenis dan rekaan beg tangan dihasilkan Puteh.
PELBAGAI jenis dan rekaan beg tangan dihasilkan Puteh.

Katanya, beg kait yang dihasilkannya mendapat sambutan pelbagai latar belakang wanita termasuk dari golongan istana yang menghargai karya kreatif mengait.

"Wanita memang gemarkan kelainan untuk bergaya dan dengan beg jenis kait ini menjadikan mereka mempunyai koleksi yang berbeza daripada orang lain.

"Jadi, sebagai penghasil beg tangan jenis kait saya perlu mempunyai idea untuk menghasilkan rekaan terkini dan boleh disarungkan wanita dalam pelbagai acara," katanya.

KREATIVITI mengait yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan sebuah beg tangan.
KREATIVITI mengait yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan sebuah beg tangan.

Selain menghasilkan beg tangan, Puteh juga aktif menjadi tenaga pengajar mengait menerusi kelas secara atas talian.

"Dengan mengajar orang lain ini saya melihat ia dapat membantu lebih ramai orang menjana pendapatan sampingan atau sepenuh masa hasil menjual beg kait yang mereka hasilkan.

"Bagi saya ini salah satu cara membantu orang lain khasnya wanita untuk menjadi usahawan dengan mempraktikkan kemahiran kreatif ini," katanya.

KELOPAK bunga yang dikait menjadi aksesori beg tangan.
KELOPAK bunga yang dikait menjadi aksesori beg tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:40 AM