HALIDAH (duduk) tidak jemu menghasilkan rekaan pakaian kait.
HALIDAH (duduk) tidak jemu menghasilkan rekaan pakaian kait.
Hajahfarhana Tarmudi

Tampak sedikit berbeza dan memiliki keunikannya tersendiri, itu antara ciri koleksi baju kait berbanding helaian yang mudah diperoleh di pasaran.

Selain selesa digayakan, rekaan pakaian kait juga memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan tidak lapuk dek zaman, malah jika kreatif berkarya tidak mustahil ia mampu setanding koleksi fesyen masa kini.

Hasil tangannya dikenali melalui jenama JijaDida, pelbagai koleksi baju seperti kardigan, baju panas, blaus, romper dan gaun untuk kanak-kanak serta dewasa dihasilkan.

Sejak kembali aktif dalam dunia mengait tiga tahun lalu, Halidah Misan @ Majid sudah berjaya menghasilkan lebih 20 corak pakaian rekaan sendiri.

PAKAIAN comel untuk kanak-kanak.
PAKAIAN comel untuk kanak-kanak.

“Nama label berkenaan dipilih berdasarkan gabungan nama anak perempuan saya. Idea bermula selepas mereka menyatakan keinginan untuk belajar mengait dan lebih membanggakan apabila anak sulung mula menunjukkan semangatnya hingga berjaya menghasilkan empat koleksi pakaian kait.

“Kebanyakan hasil koleksi kait saya gunakan benang kapas asli, campuran benang kapas, akrilik dan ‘milk cotton’ kerana ia lebih sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini.

“Warna koleksi helaian yang ditampilkan pula bergantung kepada permintaan pelanggan. Istimewanya, setiap rekaan baju adalah keluaran pertama dan eksklusif,” katanya.

Jelasnya, inspirasi setiap rekaannya diperoleh daripada pemerhatiannya terhadap hasil pengait luar negara seperti Russia, Turki, Amerika Syarikat dan Jepun.

Bakat mengait diwarisi daripada arwah ibunya yang mengait tanpa berpandukan sebarang corak dan hanya mengikut naluri hati, namun mampu menghasilkan rekaan menarik.

KARDIGAN juga ditampilkan.
KARDIGAN juga ditampilkan.

Mula berminat dengan aktiviti mengait satu jarum (crochet) ketika usianya baru menginjak 11 tahun, Halidah akui sangat beruntung kerana memiliki ibu yang pandai mengait.

Kemudian, minatnya terus bercambah kepada aktiviti kait dua jarum (knitting) pada usia 17 tahun. Tanpa kenal erti putus asa, dia meneruskan usaha mempelajari bidang berkenaan dengan mendalam melalui ibunya.

“Emak menjadi idola dan hingga ke hari ini pesanan arwah masih diingati yang menyuruh saya membuat yang terbaik dan menjaga mutu kerja.

“Mengait bukan sekadar dijadikan hobi, malah kemahiran ini mampu menjana pendapatan sampingan. Tidak disangka melalui duit hasil mengait itu mampu membiayai perbelanjaan ketika diterima masuk ke Sekolah Penolong Jururawat di Alor Setar pada 1986.

“Sepanjang karier sebagai jururawat terlatih, saya terus mengait dan mengambil upah daripada individu yang berminat untuk menempah,” katanya.

PAKAIAN comel untuk kanak-kanak.
PAKAIAN comel untuk kanak-kanak.

Pada 2000, dia meletakkan jawatan sebagai jururawat dan menjana pendapatan dengan mengambil tempahan menjahit pakaian wanita hinggakan tidak berkesempatan untuk mengait.

Namun, awal 2014, dia terpaksa berhenti menjahit dan berubah haluan kepada mengait kerana menghadapi masalah bahu serta vertigo (pening).

Sejak itu, dia mula mengasah kembali bakat mengait. Melalui kemudahan teknologi terkini dan berpandukan Internet, dia banyak belajar cara baru untuk kembali memantapkan teknik mengait hingga ke hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 2:44 PM