AKTIVITI elak bosan jadi sumber pendapatan untuk suri rumah.
AKTIVITI elak bosan jadi sumber pendapatan untuk suri rumah.
NORAFNIFARAIDAYU menunjukkan hasil kerja kaitnya.
NORAFNIFARAIDAYU menunjukkan hasil kerja kaitnya.
ANTARA koleksi plushie yang dihasilkan Nafishah untuk kanak-kanak.
ANTARA koleksi plushie yang dihasilkan Nafishah untuk kanak-kanak.
Hajahfarhana Tarmudi


Setiap kejayaan perlu disulam dengan usaha, semangat dan keyakinan tinggi. Pada masa sama, motivasi diri juga perlu ada bagi menghadapi cabaran akan datang terutama dalam perniagaan.

Tanpa melihat kepada tahap pendidikan, sesiapa saja boleh berjaya dalam perniagaan diceburi asalkan ada minat, usaha dan kesungguhan.

Tidak ketinggalan bagi suri rumah masa kini yang mula sedar untuk menggunakan kemahiran dimiliki sebaik mungkin bagi menjana pendapatan sampingan biarpun hanya duduk di rumah mengurus anak dan keperluan seisi keluarga.

Pelbagai kisah kejatuhan dan kebangkitan wanita bergelar suri rumah untuk meneruskan kelangsungan hidup di samping membantu suami menambah pendapatan dengan perniagaan dilakukan.

Usaha mereka tidak harus dipandang sepi sebaliknya sebagai masyarakat prihatin, kita perlu terus memberi semangat dan menghargai hasil kerja mereka yang bersusah payah mencari rezeki.

Semua bakat dimiliki wanita ini dihimpunkan dalam komuniti Geng Jahit yang ditubuhkan Rozita Mohd Khaldi pada 29 November 2010 di laman sosial Facebook.

Jana pendapatan sampingan

Edina Shaharuddin, 44, yang berasal dari Pahang mengakui bermula dengan hobi, akhirnya dia me­ngambil keputusan untuk memberi tumpuan terhadap pembuatan hasil kraf dan menjahit sepenuh masa.

Menjadi suri rumah sejak 19 tahun lalu, dia tercari-cari aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengisi masa lapang untuk mengelakkan kebosanan ketika di rumah.

“Saya memang mempu­nyai kemahiran mengait satu jarum (crochet) sejak berusia 10 tahun. Kebanyakannya saya belajar sendiri daripada buku dan blog serta pembuat kraf dari luar negara.

“Mulanya, saya membuat kraf sebagai hobi, namun sedikit demi sedikit dengan sokongan suami saya mula berjinak-jinak untuk memulakan perniagaan enam tahun lalu secara dalam talian menggunakan nama Edina’s Craft.

“Saya menjalankan perniagaan secara berdaftar dan dibuat di rumah. Di samping dapat menjana pendapatan, saya juga boleh menguruskan anak dan rumah tangga,” katanya.

Ujarnya, kehadiran suami, Mahizan Ismail yang banyak memberi sokongan memberi semangat kepada dirinya untuk menceburi bidang berkenaan dengan lebih serius.

Banyak produk dihasil­kan satu persatu termasuk jahitan tampal cantum untuk barangan bayi, dompet kecil daripada seni heksagon, beg syiling, bag tote, dompet tali cerut, pemegang kunci, permainan ‘plushie’ dan sebagainya.

Jahitan tangan seperti seni heksagon adalah salah satu keistimewaan rekaan pembuat kraf ini kerana ia memerlukan kesabaran, ketelitian dan kekemasan yang tinggi.

Kebanyakan idea diperoleh daripada pemerhatiannya sendiri ketika melawat negara luar seperti Taiwan, Korea, Thailand dan Indonesia.

Pada masa sama, Edina akui dia perlu melihat trend semasa di laman web seperti blog, Instagram dan Pinterest dari luar negara untuk mendapat idea segar sebelum menghasilkan produk baru.

“Satu cabaran besar bagi saya untuk menghasilkan produk yang berlainan daripada pembuat kraf lain dan percaya masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

“Pada masa sama, tempoh yang diambil untuk menyiapkan tempahan dan ketelitian jahitan turut jadi cabaran. Ini kerana ada antara produk kraf yang dihasilkan menggunakan jahitan tangan terutama koleksi dalam kumpulan seni heksagon,” katanya.

Jelasnya, pemilihan dan adunan fabrik juga memerlukan penelitian serta pe­ngalaman yang luas. Justeru, material yang digunakan mestilah berkualiti dan harus tampak eksklusif serta unik.

Bagi mendapatkan material yang lain daripada lain, dua perlu membeli dan memilih sendiri di di luar negara. Biarpun harga ditawarkan agak tinggi, masih ada yang sanggup membayar kerana hasil yang diberikan sepadan dengan nilai yang dibayar.

“Sejak terbabit dalam bidang kraf ini, saya sedar banyak kebaikannya. Selain menjana pendapatan sampingan, saya juga dapat berkongsi ilmu, pendapat dan idea dalam menghasil­kan rekaan produk.

“Selain itu, satu kepuasan pada diri saya apabila dapat membantu orang yang kurang berkemampuan dengan memberikan kelas percuma terutama ibu tunggal dan orang miskin bagi menjana pendapatan.

“Sedikit sebanyak, ia dapat membuka pemikiran suri rumah yang mahu membantu suami dengan kemahiran yang boleh dipelajari,” katanya.

Jelasnya, bidang itu juga secara tidak langsung membuka ruang dia mengenali diri sendiri dalam mengukur kemampuan di samping membina kerjaya sebagai pembuat kraf biarpun de­ngan hanya duduk di rumah.

Manfaatkan bakat

Pemilik Drool Pad Comel, Nafishah Nan, akui dia hanya memiliki kemahiran menjahit untuk menjana pendapatan selepas tamat sekolah.

Semuanya bermula selepas dia tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Disebab­kan ibunya tidak mahir menjahit, dia disuruh untuk menghasilkan rekaan seperti selimut menggunakan kain bersaiz kecil yang dicantum dan dijahit sendiri.

“Tanpa disangka saya berjaya menyahut cabaran ibu untuk menyiapkan jahitan selimut daripada cantuman kain perca berkenaan dan sangat berpuas hati kerana ketika itu memang tidak mempunyai kemahiran menjahit.

“Kemudian, ibu sekali lagi menyuruh saya menjahit langsir untuk majlis perkahwinan abang. Namun, kali ini agak sukar kerana ibu mahukan langsir yang mempunyai rekaan berlapis dan separuh bulat beralun (scallop),” katanya.

Disebabkan tidak tahu cara menjahit langsir itu, dia cuba bertanya dan belajar daripada beberapa kedai jahit. Malangnya, tiada siapa yang bermurah hati menunjukkan kaedah yang betul, sekali gus dia membuat rujukan sendiri di majalah.

Sedikit demi sedikit kain digunting dan dicantum hingga menjadi bentuk alunan. Hasil usaha gigihnya itu, dia mampu menyiapkan langsir untuk seluruh rumah sebelum majlis berlangsung.

Minatnya dalam bidang jahitan terus membara dan mula mencari pekerjaan dalam bidang sama. Di samping mencari pendapatan dia juga berhasrat untuk belajar dengan lebih mendalam.

“Tanpa disangka saya ditawarkan bekerja di kedai jahit langsir di Kedah. Di situ saya banyak belajar teknik menjahit langsir dan menerima pujian daripada pelanggan.

“Bukan saja langsir, malah saya juga mahir menghasilkan cadar pengantin hasil pembelajaran sepanjang waktu bekerja. Selepas bergelar ibu tunggal anak seorang, saya bawa diri ke Kuala Lumpur dan mendapat pekerjaan dalam bidang sama hingga bertemu suami dan berkahwin,” katanya.

Ujar ibu beranak empat ini lagi, apabila banyak mengambil cuti disebabkan ayahnya meninggal, dia mengambil keputusan berhenti kerja.

Berdasarkan pengalaman kerja selama 16 tahun dalam bidang jahitan, dia akui pelbagai jenis jahitan sudah diteroka dan mulai mahir.

Selepas berhenti kerja, dia meneruskan aktiviti jahitan dan mengambil tempahan membuat barangan bayi seperti tilam, bedung, barut dan sebagainya.

“Disebabkan pendapatan saya bergantung sepenuhnya kepada hasil tempahan jahitan dan gaji suami bukanlah besar, saya akan pastikan setiap hari ada pendapatan yang diterima untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Justeru, pelbagai idea menarik diketengahkan menerusi jahitan seperti anak patung ‘plushie’ dan sebagainya. Jika dulu, tempahan banyak diterima melalui mulut ke mulut, kini pelanggan juga boleh menempah menerusi dalam talian,” katanya.

Warisi bakat ibu dan ibu saudara

“Ketika berusia lapan tahun, saya melihat emak mengait. Apabila menyuara­kan hati untuk belajar, emak tidak benarkan kerana menganggap saya masih kecil ketika itu.

“Biarpun emak tidak mahu ajar mengait, saya perhatikan dan mengingati cara yang digunakannya ketika mengait. Hinggakan ada satu masa saya menggunakan peralatan mengait emak secara diam-diam dan mengait di atas pokok dalam hutan bagi mengelakkan aktiviti itu dikesan,” katanya.

Ujar Norafnifaraidayu Abdullah Shani, dia beruntung kerana arwah ibu saudara yang mengetahui minatnya itu dengan rela hati mengajarnya me­ngait melalui pembelajaran berbentuk diagram buku berbahasa Jepun.

Kebetulan, arwah ibu saudaranya juga mahir mengait dan menerima tempahan. Selepas diajar dengan kemahiran mengait pelbagai teknik, dia membantu ibunya menyiapkan tempahan.

Ketika itu, tempahan pertama yang berjaya disiapkan ialah alas meja yang dikait menggunakan benang halus sekali gus membuktikan minat dan kemahiran yang dimiliki untuk mendapat kepercayaan ibunya.

Itu cerita lama dan kini dia mengembangkan minatnya dengan menghasilkan pelbagai corak sendiri yang menjadi tanda pengenalan bagi jenamanya, Norafni A Shani Collection.

Sebutlah apa saja rekaan, dia mahir menghasilkannya asalkan ia berkaitan dengan teknik mengait. Jika dulu ia dilakukan sebab hobi, namun sejak lima tahun kebelakangan ini, tercetus idea untuk menggunakan kemahiran dimiliki sebagai pendapatan utama.

“Itupun selepas menyertai beberapa komuniti di laman sosial yang menghimpunkan semua peminat kraf untuk mengait saja. Minat yang lama ditinggalkan hadir kembali selepas menyertai pertandingan kecil dalam komuniti itu dengan menghasilkan beg genggam kait.

“Selepas dua tahun berniaga barangan kait, saya dapat lihat banyak persaingan daripada pembuat kraf kait yang menghasilkan produk sama,” katanya.

Wanita berusia 34 tahun ini menambah, selepas membuat pemerhatian dan melakukan olahan kepada corak yang dilihat dari luar negara, dia me­ngambil keputusan mengetengahkan rekaan anak patung kait atau dikenali sebagai amigurumi.

Hasil kaitnya mula dikenali ramai selepas anak patung berupa katak yang diberi nama ‘Mr Froggie’ digunakan sebagai alatan lakonan dalam drama Rindu Awak 200% Raya.

Ujarnya, anak patung berkenaan dihadiahkan kepada pelakon yang diminati anaknya, Aida Jebat sempena sambutan hari jadi artis wanita itu.

Sejak itu, dia menerima banyak tempahan yang tidak disangka hingga ke hari ini. Biarpun lega dengan penerimaan yang diterima, dia perlu lebih kreatif untuk menghasilkan rekaan yang lebih unik dan eksklusif.

“Mengait banyak mengajar saya untuk menjadi sabar walaupun itu bukan sikap saya yang sebenar. Pada masa sama, mengait dapat membantu menghilangkan tekanan di samping memberi pendapatan dan mengasah kemahiran dimiliki agar menjadi lebih mahir,” katanya.

Koleksi barangan kait hasil kerja tangan Norafnifaraidayu boleh didapati secara dalam talian di Norafni A Shani (Facebook) atau norasiashani_collection (Instagram).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 5:30 AM