KERETA yang terbabit kemalamgan di Pelangi, Semenyih, Kajang, semalam. FOTO tular
KERETA yang terbabit kemalamgan di Pelangi, Semenyih, Kajang, semalam. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Polis menahan dua lelaki yang terbabit dalam kejadian pukul di persimpangan lampu isyarat Pelangi, Semenyih, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek berusia 26 dan 43 tahun di sini, 3.30 pagi tadi.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat dan punca kejadian adalah kerana tidak puas hati dengan tindakan mangsa yang melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan.

"Kedua-dua saspek akan di bawa ke Mahkamah Kajang untuk permohonan reman dan ditahan reman sehingga 15 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Mangsa berusia 63 tahun itu tampil membuat laporan di IPD Kajang 5.23 petang semalam selepas terbabit dalam kemalangan kelmarin sebelum dipukul," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa melanggar van sekolah yang dipandu oleh wanita dimana dalamnya terdapat beberapa orang murid sekolah.

"Selepas kemalangan, mangsa memberhentikan keretanya di tepi jalan dan tiba-tiba datang beberapa orang lelaki yang tidak dikenali yang mana dua orang daripadanya memukul di bahagian anggota badan menggunakan tangan dan kaki sehingga mengakibatkan kecederaan sakit di bahagian perut, dahi dan badan.

"Mangsa dipercayai dipukul oleh orang awam tidak dikenali yang marah akibat kejadian kemalangan jalan raya di mana dia dipercayai memandu kenderaan secara laju dan melanggar lampu isyarat merah sehingga melanggar van sekolah terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan.

Harian Metro semalam melaporkan masalah brek dikatakan menjadi punca berlakunya kemalangan membabitkan tiga kenderaan sehingga mencetuskan pergaduhan di persimpangan lampu isyarat Pelangi, Semenyih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 12:54 PM