TOM Yam Kung. FOTO https://www.tatnews.org
TOM Yam Kung. FOTO https://www.tatnews.org
Agensi

Bangkok: Kerajaan Thailand mendesak supaya sup Tom Yam Kung dan kebaya didaftarkan sebagai warisan budaya tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Portal Thaiger melaporkan, Kementerian Kebudayaan sedang mempercepatkan rancangan untuk mempromosikan kuasa Thailand di pentas antarabangsa.

Kementerian Kebudayaan mempromosikan dua warisan budaya Thailand tahun ini iaitu sup Tom Yam Kung dan kebaya.

Pencalonan pakaian adalah usaha bersama Malaysia, Brunei, Indonesia, dan Singapura.

Perkara itu akan dipertimbangkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara, yang dijadualkan bermula 2 hingga 7 Disember di Paraguay.

Selain itu, Thailand merancang untuk mencadangkan pakaian Thai, Muay Thai dan fabrik Pha Khao Ma untuk senarai warisan budaya tidak ketara Unesco.

Timbalan jurucakap kerajaan, Kenika Ounjit menekankan bahawa Jabatan Promosi Kebudayaan sedang menyediakan aktiviti perayaan untuk pertimbangan Tom Yam Kung dan kebaya untuk senarai warisan budaya tidak ketara Unesco.

Jabatan itu juga sedang merangka rancangan 10 tahun untuk mengkatalogkan warisan tambahan budaya Thailand untuk pengiktirafan Unesco.

Ia termasuk memperincikan jenis dan garis masa aktiviti untuk mempromosikan warisan budaya dan seni Thailand serta 'kuasa lembutnya' pada skala antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:30 AM