BIELSA digantung satu perlawanan dan tidak boleh berada di bangku simpanan menentang AS, pagi esok. FOTO REUTERS
BIELSA digantung satu perlawanan dan tidak boleh berada di bangku simpanan menentang AS, pagi esok. FOTO REUTERS
Reuters

Kansas City: Jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa digantung satu perlawanan oleh CONMEBOL berikutan pasukannya lewat kembali ke padang selepas rehat ketika menang 5-0 ke atas Bolivia, Khamis lalu.

Badan bola sepak Amerika Selatan itu turut mendenda Persatuan Bolasepak Uruguay sebanyak A$15,000 (RM70.71 juta) selepas anak buah Bielsa gagal mematuhi artikel 104 dan 145 peraturan kejohanan berkaitan dengan aspek 'masuk ke padang lebih lewat berbanding permulaan atau permulaan semula perlawanan', menurut kenyataan CONMEBOL, hari ini.

Ini bermakna, Bielsa, 68, tidak boleh berada di bangku simpanan apabila Uruguay berdepan Amerika Syarikat (AS) pada perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Arrowhead, pagi esok, pada ketika Uruguay sudah mengesahkan slot ke suku akhir selepas menang dua aksi awal sebelum ini.

Bekas pengendali Leeds United itu adalah pengurus keempat yang digantung satu perlawanan kerana kesalahan sama di Copa America, tahun ini, selepas pengendali Argentina, Lionel Scaloni; bos Chile, Ricardo Gareca dan pengurus Venezuela, Fernando Batista.

Penolong jurulatih Uruguay, Diego Reyes memberitahu sidang media, Copa America adalah kejohanan agak keras berkaitan dengan aspek berkenaan.

"Larangan itu tidak pernah diambil mudah kerana ia adalah aspek negatif kepada pasukan.

"Kami mengambil langkah sewajarnya (untuk mengelak kelewatan) pada perlawanan terakhir, tetapi masih ada beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan segera," katanya.

"Dalam bilik persalinan ketika perlawanan, anda pasti tahu banyak aktiviti yang berlaku, tetapi dalam kejohanan ini peraturan agak ketat berkaitan tempoh masa singkat itu."

Reyes berkata, sekalipun tanpa Bielsa, Uruguay yang kini mengumpul enam mata tidak akan mengambil mudah dan menyifatkan perlawanan menentang tuan rumah seolah-olah aksi terakhir mereka di kejohanan ini.

Uruguay akan layak ke suku akhir selaku juara kumpulan jika tidak tewas kepada AS, namun jika tewas sekalipun masih layak kerana memiliki jurang perbezaan gol yang besar.

"Kami akan turun dengan prestasi sebaik mungkin. AS adalah lawan penting, mereka memiliki ramai pemain daripada liga terbaik di dunia dan bermain dengan baik di bawah jurulatih masa kini.

"Sama seperti pasukan lain, mereka ada turun dan naik. Mereka tertekan apabila berdepan perlawanan besar. Mereka memiliki skuad seimbang yang beraksi bersama untuk tempoh lama."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:09 AM