LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Ibu bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa didera saling membuat laporan polis antara satu sama lain bagi mendapatkan hak penjagaan sepenuhnya terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 41 tahun berkenaan mendakwa suaminya melakukan gangguan seksual terhadap anak perempuannya berusia empat tahun pada 23 Ogos lalu.

"Wanita yang bekerja sebagai pembuat roti sambilan berkenaan mendakwa kejadian itu berlaku sejak Mac lalu semasa berada di bawah jagaan suspek iaitu bapa kandung mangsa berusia 41 tahun.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dikatakan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa di Bandar Tasik Kesuma, Beranang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati pengadu dan suspek berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu mangsa.

"Akibat perselisihan faham, pengadu dan suspek tinggal berasingan sejak Jun 2021. Pada 17 Oktober 2021, semasa dalam proses perceraian, kes itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk isu hak penjagaan anak.

"Pengadu mendapat hak jagaan anak dengan suspek juga diberi hak penjagaan pada setiap hari minggu bagi bulan kedua dan keempat yang menimbulkan rasa tidak puas hati wanita berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sejak anak mereka tinggal bersama suspek pada setiap minggu ditetapkan, pengadu beberapa kali membuat laporan polis.

"Laporan yang dibuat mengenai perbuatan disyaki penderaan seksual berlaku kepada anak perempuannya.

"Malah, pemeriksaan juga sudah dibuat ke atas mangsa di Hospital Kajang pada 28 Ogos lalu.

"Sejak itu, pengadu dan suspek saling membuat laporan polis antara satu sama lain bagi tujuan mendapatkan hak penjagaan sepenuhnya terhadap mangsa sehingga kini," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

"Kes itu masih dalam siasatan dengan semua keterangan daripada pelbagai sudut perlu dilengkapkan sebelum kes dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan ibu kanak-kanak perempuan berkenaan berharap kertas siasatan kes itu dapat dibuka semula untuk memberi keadilan kepada anaknya.

Wanita terbabit mendakwa kejadian itu berlaku awal Januari 2022 dan dia sudah membuat laporan polis selepas anaknya didakwa mengadu bahagian perut dan alat sulitnya sakit selepas dibawa keluar oleh suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 11:56 PM