MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) bagi bedah siasat. FOTO Izwan Abdullah
MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) bagi bedah siasat. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Penampang: Banjir yang melanda daerah ini sejak petang semalam meragut nyawa pertama apabila seorang wanita yang dihanyutkan arus deras selepas menghantar makanan kepada penduduk terperangkap banjir, di sini, awal pagi tadi, ditemukan meninggal dunia.

Mangsa, Monica Ting Siew Kwong, 37, ditemukan di celah pokok berhampiran rumah penduduk di Kampung Hungab, di sini, kira-kira 8 pagi tadi, kira-kira 500 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis.

Terdahulu, operasi SAR dilakukan selepas menerima pihak berkuasa menerima laporan pada 1.45 pagi.

Sebelum ditemukan, pasukan SAR menjumpai kasut mangsa dan ia menjadi petunjuk yang membantu pencarian mangsa.

Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa berkata, wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini, untuk bedah siasat.

Dalam kejadian 1.40 pagi tadi, mangsa bersama suaminya, Hii Ding Wei, 39, dikatakan pergi menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap akibat banjir dekat pekan Donggongon, di sini, sebelum pulang.

Bagaimanapun, difahamkan, ketika cuba melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, di sini, mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 10:23 AM