Sebahagian kucing yang berjaya diselamatkan. FOTO ihsan Nurul Ain Abdul Hamid
Sebahagian kucing yang berjaya diselamatkan. FOTO ihsan Nurul Ain Abdul Hamid
Oleh Nor Syazrina Muhamad Tahir


Cheras: Kononnya menyayangi kucing dan anjing sehingga sanggup membela puluhan haiwan itu di rumah namun tindakan itu bertukar kepada penganiayaan apabila tidak terjaga sehingga kebuluran.

Kejadian itu menimpa 20 kucing dan 30 anjing yang 'bersesak' di dalam sebuah rumah kecil di ibu negara sehingga terpaksa makan sesama sendiri akibat kebuluran diabaikan tuannya.

Berkongsi pengalaman itu, doktor veterinar yang juga aktivis penyelamat haiwan, Dr Wan Aimi Abdul Rahim, 30, berkata, pemilik haiwan itu mengalami masalah mental menyebabkan dia dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

"Dia ada membela puluhan kucing dan anjing yang bersesak dalam rumah teres kecil dan semuanya tidak terurus!

"Haiwan berkeliaran dalam rumah. Najis, air kencing, makanan semuanya bersepah dan keadaannya sangat busuk," katanya.

Katanya, pihaknya bersama beberapa lagi penyelamat dan pihak berkuasa tempatan ketika itu segera menjalankan siasatan selepas menerima maklumat.

"Kami dapat tahu selepas ada jiran terdekat yang mengadu kepada seorang penyelamat yang kami kenal. Dia cakap, ada bau sangat busuk dari rumah itu.

"Bila pergi tengok rumah itu memang dapati ada pengabaian berlaku terhadap haiwan dalam rumah itu. Kes itu juga dibantu pihak berkuasa dan mereka 'merampas' haiwan dari tuannya untuk dirawat," katanya.

Katanya, kes itu terjadi di Puchong dan dipercayai 'tuan' kepada haiwan itu membeli semua kucing dan anjing di kedai haiwan berhampiran untuk dimuatkan dalam rumah kecil itu.

"Ketika kejadian ini berlaku, tiada tindakan oleh pihak berkuasa terhadap penjaga haiwan, cuma mereka bawa kucing dan anjing itu untuk diselamatkan dan mendapat rawatan saja.

"Kini mereka semua sudah pun mendapat tuan yang betul-betul ingin menjaga mereka," katanya.

Dalam pada itu, doktor veterinar, Dr Nur Shuhada Shareen Azmi, 30, berkata, kes itu paling teruk pernah dihadapi.

"Bayangkan rumah teres kecil itu memuatkan lebih dari 30 ekor anjing besar dan 20 ekor kucing, belum kira lagi keadaan rumah dengan najis bersepah, kencing dan berbau sangat tengik.

"Haiwan itu juga tidak diberi makan dan kami percaya anjing dan kucing terbiar itu memakan sesama sendiri kerana kami menjumpai rangka haiwan berdekatan, jadi mungkin kiraannya lebih dari yang kita jumpa," katanya.

Banyak kes aniaya tidak diselesaikan

Kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai isu serta undang-undang penganiayaan haiwan di Malaysia masih di tahap kurang memuaskan.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan penganiayaan haiwan yang masih belum menemui jalan penyelesaian.

"Banyak kes penganiayaan haiwan tidak diselesaikan dan didiamkan begitu saja. Pendidikan mengenai kebajikan haiwan masih belum meluas.

"Kita tidak boleh hanya sekadar bercakap mengenai akta dan undang-undang sajatetapi pendidikan mengenainya juga penting," katanya ketika ditemui Harian Metro di Galeri Animal Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau juga menyatakan kekesalan kerana terdapat sesetengah pihak berkuasa yang tidak mahu bertanggungjawab menyelesaikan kes penganiayaan haiwan.

"Jika kita perhatikan, negara kita tidak mempunyai tindakan penguatkuasaan yang baik terhadap kes penganiayaan haiwan.

"Ada kes pihak penguat kuasa berlembut kerana alasannya pelaku tidak didedahkan dengan undang-undang, jadi bila mahu didedahkan kepada masyarakat?" katanya.

Arie berkata, pihak penguat kuasa tidak boleh berkompromi dengan mereka yang melakukan jenayah terhadap haiwan hanya kerana mangsa bukan manusia.

"Cuba bayangkan perkara yang sama terjadi kepada keluarga kita, adakah kita akan duduk diam? Di manakah keadilannya?

"Ini bukan soal bertimbang rasa, ini soal hukuman. Setiap satu kesalahan itu perlu dihukum," katanya.

Arie berkata, pihaknya menerima lebih 20 kes yang tidak menemui jalan penyelesaian apabila pihak berkuasa menutup siasatan.

"Undang-undang kita sudah cukup baik, yang tidak baiknya adalah penguatkuasaan. Kita ada berpengalaman apabila mengadu kepada pihak berkuasa, ia ibarat melepaskan batuk di tangga saja, nampak mereka tidak ambil berat.

"Saya cuma berharap pihak berkuasa serius apabila menerima laporan serta tangani dan siasat hingga mendakwa mereka yang bersalah," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:01 AM