BANYAK pengabaian dilakukan oleh sesetengah pemilik kucing dan anjing sehingga kesihatan dan kebajikan haiwan tidak terjaga.
BANYAK pengabaian dilakukan oleh sesetengah pemilik kucing dan anjing sehingga kesihatan dan kebajikan haiwan tidak terjaga.
Oleh Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Pernah menyelamatkan kucing yang digunting ekor, dikorek mata dan kaki dipatahkan.

Itu pengalaman tidak dapat dilupakan pencinta haiwan, Mastura Amanah yang aktif menyelamatkan kucing jalanan termasuk yang dianiaya secara kejam oleh individu tidak berperikemanusiaan.

Mastura, 41, berkata, mula menyelamatkan kucing sejak 15 tahun lalu namun terpaksa menghentikan usahanya itu pada 2020 kerana tiada pewaris untuk meneruskan legasi itu.

"Saya memulakan usaha ini dengan niat mahu menyekat pembiakan kucing jalanan dengan memandulkan mereka kerana saya berpandangan pembiakan tidak terkawal kucing jalanan ini mencetus kepada penganiayaan.

"Bagaimanapun, selepas 15 tahun melakukan usaha secara sukarela, saya terpaksa berhenti kerana tidak dapat mencari pengganti yang sesuai," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Frim, Kepong di sini, baru-baru ini.

Dia berkata, sepanjang terbabit dalam usaha menyelamatkan kucing, dia tidak mampu memikirkan bagaimana ada individu tergamak menganiaya haiwan.

"Mereka cuma haiwan, bersifat kecil dan tiada daya untuk melawan balik, jadi kenapa sanggup untuk aniaya mereka?

"Kalau berasa mahu seksa mereka, cuba buat dulu dekat diri sendiri, mesti kita akan rasa sakit tetapi masih mampu pergi ke klinik. Kalau haiwan? Mereka tidak tahu pergi ke klinik, apatah lagi bercakap mengenai keperitan sakit yang mereka tanggung," katanya.

Mastura berkata, banyak pengabaian dilakukan oleh sesetengah pemilik kucing sehinggakan kesihatan dan kebajikan haiwan tidak terjaga.

"Ada yang kami jumpa keadaan kucing sangat teruk dan ada juga yang buta.

"Kadang-kadang saya akan selamatkan kucing-kucing yang mempunyai sejarah penganiayaan. Ada antara mereka yang pernah digunting ekornya, dikorek mata, tempang dan sebagainya," katanya.

Mastura menyifatkan tahap kesedaran masyarakat Malaysia dalam menangani isu penganiayaan haiwan di tahap teruk.

"Pendapat saya sendiri, pihak berkuasa haruslah meningkatkan program kesedaran seperti program pemandulan haiwan terutamanya kucing.

"Ramai orang tidak tahu memandulkan kucing itu penting untuk menjaga kesihatannya. Kita juga dapat membendung pertambahan kucing terbiar dan secara tidak langsung mengelakkan penganiayaan haiwan," katanya.

Sementara itu, rakannya, Norhazlin Ibrahim, 49, berkata, dia kecewa dengan pihak berkuasa yang sambil lewa dalam menangani kes penganiayaan haiwan.

"Undang-undang dan akta memang ada, cuma kita ada isu terhadap penguatkuasaan. Jika kita buat aduan, mereka akan ambil sambil lewa, tindakan mereka sangat lambat.

"Kerajaan perlu tegas dalam menangani isu penganiayaan haiwan. Jika pelaku membunuh kucing, mereka perlu dijatuhkan hukuman yang setimpal," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, penganiayaan haiwan boleh muncul daripada sekecil-kecil kes kepada sebesar-besar kes termasuklah pengabaian kebajikan dan kesihatan.

"Kalau rumah kita tidak besar, tidak perlulah membela banyak kucing, mungkin tidak mampu dan kesihatan mereka juga akan terabai.

"Bila tidak dimandulkan, mereka akan beranak banyak, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kita yang tidak mampu seterusnya kita akan merasakan tekanan dan dari situlah munculnya penganiayaan binatang," katanya.

Rawat, selamat lebih 1,000 haiwan

Dianugerahkan anak autisme selain diuji dengan suami yang mengalami masalah kesihatan namun ia tidak menghalang seorang wanita mengejar saham akhirat dalam merawat dan menyelamatkan lebih 1,000 kucing serta anjing jalanan sejak 2012.

Wanita itu, Nurul Ain Abdul Hamid, 32, berkata, tanggungjawab itu pernah digalasnya bersama suami, Muhammad Razeef Che Samah,43, atas dasar mahu melindungi haiwan cedera terutama dilanggar kenderaan atau didera.

Menurutnya, kini dia meneruskan usaha itu sepenuhnya dengan bantuan empat pekerja.

"Kami buat misi ini kerana sedar bukan semua orang mampu buat.

"Saya buat sepenuhnya misi ini sejak beberapa tahun lalu selepas suami hidap pelbagai masalah kesihatan.

"Paling penting saya fikir macam mana haiwan itu hendak bertahan dalam keadaan sakit dan kritikal di luar sana tanpa penjagaan dan rawatan kerana biasanya kita tahu haiwan terbabit kemalangan atau didera akan dibiarkan.

"Itu yang membuatkan saya berniat untuk teruskan bantu dan memartabatkan haiwan jalanan terutama kucing dan anjing sampai sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setiap haiwan yang diselamatkan akan ditempatkan di SI Home Shelter di Shah Alam, Selangor miliknya, manakala sebahagian anjing di rumah sewa berdekatan.

"Tujuan kami menubuhkan pusat ini untuk merawat dan memberi perlindungan sementara kepada haiwan ini sebelum diberikan kepada keluarga angkat yang sudi memelihara.

"Kami tidak akan terima semua kes kerana kosnya mahal dan fokus kami kepada haiwan sakit dan kritikal serta sampai satu tahap tiada siapa hendak tolong dan mahu ambil tindakan suntik mati.

"Biasanya kes diterima akan dirawat dan vaksin sebelum dimandulkan. Jika kes serius kita akan hantar kepada klinik veterinar tetapi jika cedera biasa kita akan rawat sendiri dengan ubat dan antibiotik bagi mengurangkan kos," katanya.

Menurutnya, ada juga kes diterimanya apabila tiada orang sanggup memberikan komitmen memelihara kucing lumpuh.

"Dalam rekod kami, ada lebih 20 ekor kucing lumpuh, kebanyakannya saya terima pada asalnya kerana orang hendak suntik mati kerana tiada orang boleh berikan komitmen memelihara haiwan ini.

"Bagi saya, kucing masih bernyawa dan sihat cuma lumpuh saja jadi tiada keperluan pun suntik mati, ia juga berhak untuk hidup macam kita," katanya.

Menurutnya, pihaknya memperuntukkan minimum RM25,000 sebulan untuk kos operasi termasuk sewa bangunan kedai tiga tingkat bagi menempatkan haiwan itu, utiliti, makanan, keperluan pembersihan serta empat pekerja.

"Jumlah itu tidak termasuk kos rawatan di klinik veterinar kerana ia berbeza mengikut kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:01 AM