ASAP tebal susulan pengeboman tentera Israel di Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal susulan pengeboman tentera Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Pertempuran hebat dan pengeboman melanda daerah Shejaia di bandar Gaza untuk hari keempat pada Ahad.

Puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan kejiranan yang musnah itu, di mana tentera Israel berkata, ia memerangi Hamas dan pejuang Jihad Islam, di atas tanah dan di dalam terowong bawah tanah.

Tentera memaklumkan sudah menghapuskan beberapa pengganas, menempatkan senjata dan melakukan serbuan disasarkan ke atas kawasan tempur yang terperangkap dalam tempoh 24 jam lalu, manakala tentera udara menyerang puluhan tapak infrastruktur pejuang.

Ia juga melaporkan pertempuran di tengah Gaza dan kawasan selatan Rafah, seminggu selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengisytiharkan bahawa fasa sengit perang yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, hampir berakhir.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menganggarkan kira-kira 60,000 hingga 80,000 orang sudah dipindahkan dari Shejaia, sejak pertempuran baharu tercetus di sana pada 27 Jun dan tentera mengeluarkan arahan pemindahan.

Sementara itu, rundingan selama berbulan-bulan ke arah gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan mencapai sedikit kemajuan, dengan Hamas memaklumkan pada 29 Jun tiada perkara baharu dalam rancangan disemak semula yang dibentangkan oleh pengantara Amerika Syarikat (AS).

Presiden AS Joe Biden pada lewat Mei lalu menggariskan apa disebutnya rancangan Israel untuk gencatan senjata selama enam minggu dan pertukaran beberapa tebusan untuk tahanan Palestin yang ditahan di Israel.

Seorang pegawai Hamas di Lubnan, Osama Hamdan, mengesahkan bahawa gerakan Islam itu menerima cadangan terbaru tetapi memaklumkan ia menunjukkan tiada kemajuan sebenar dalam rundingan untuk menghentikan pencerobohan.

Osama melabelkan cadangan itu sebagai membuang masa yang bertujuan untuk memberi masa tambahan untuk pendudukan (Israel) mengamalkan pembunuhan beramai-ramai.

Perang bermula dengan serangan Hamas ke atas Israel selatan pada 7 Oktober tahu lalu yang mengakibatkan kematian 1,195 orang, kebanyakannya orang awam, berdasarkan angka Israel.

Pejuang Hamas pula merampas 251 tebusan, 116 daripadanya kekal di Gaza, walaupun 42 sudah meninggal dunia.

Serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 37,877 orang, juga kebanyakan orang awam, menurut data dari Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 10:44 AM