Luan yang berasal dari sebuah kampung di wilayah Jilin di timur laut China, bekerja sebagai pekerja penghantaran di Beijing selama sembilan tahun. FOTO Weibo
Luan yang berasal dari sebuah kampung di wilayah Jilin di timur laut China, bekerja sebagai pekerja penghantaran di Beijing selama sembilan tahun. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Seorang pekerja penghantaran dari China dipilih untuk bertanding dalam Maraton Partisipasi Beramai-ramai Paris 2024 iaitu acara pertama untuk atlet amatur di Sukan Olimpik.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Luan Yushuai, 39, layak menyertai perlumbaan selepas mengumpul kredit mencukupi dan menjadi salah seorang daripada 40,048 peserta termasuk 120 dari China yang dipilih melalui cabutan bertuah, lapor Dazhong Daily.

Kredit sukan diperoleh dengan menyahut cabaran berjalan ditetapkan pada aplikasi khas, sama ada bersendirian atau sebagai sebahagian daripada pasukan, berdasarkan masa, jarak dan faktor lain.

"Saya ingin merasai pengalaman berlari di Sukan Olimpik. Sangat menantikannya," kata Luan.

Penganjur sukan itu memutuskan untuk membuka maraton itu kepada orang ramai bagi mewujudkan peluang kepada seramai mungkin orang untuk 'mendekati' acara sukan bersejarah itu.

Menurut laman web Sukan Olimpik Paris 2024, peserta akan mengikut laluan sama dilalui oleh atlet maraton sukan berkenaan.

Luan yang berasal dari sebuah kampung di wilayah Jilin di timur laut China, bekerja sebagai pekerja penghantaran di Beijing, selama sembilan tahun.

Selain berlari pantas untuk melakukan penghantaran, dia berlatih pada masa lapang membabitkan jarak 400 kilometer (km) setiap bulan.

Bagi meningkatkan kekuatan dan stamina, Luan memasang beg pasir pada kakinya semasa bekerja.

"Menghantar barangan dan berjalan adalah dua perkara yang sangat diperlukan dalam hidup saya," katanya.

Luan mula berlari maraton pada 2017 apabila seorang pelanggan, yang juga pemilik kelab sukan, menawarkan untuk melatihnya secara percuma.

Pada 2021, Luan mendapat tempat pertama dalam perlumbaan separa maraton di Beijing dalam kalangan pelari bukan profesional.

Luan bertanding dalam banyak acara dalam tempoh tujuh tahun lalu.

Masa terbaiknya dalam acara maraton adalah dua jam, 25 minit dan 55 saat hingga mendapat jolokan penghantar terpantas China, kata laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:09 AM