GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Jeli: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah jantan di Kampung Kalai, Batu Melintang, di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, gajah itu ditangkap pada 11 Januari lalu apabila pihaknya menerima aduan mamalia terbabit memasuki kawasan kebun penduduk.

"Seramai tujuh anggota Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan telah menjalankan operasi menangkap gajah itu.

"Gajah liar ini akan dipindahkan ke taman negara serta kawasan habitat lebih sesuai dan selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, bagi memudahkan kerja operasi memindahkan gajah itu, pihaknya turut mengggunakan khidmat bantuan dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

"Pemindahan gajah ini sedikit sebanyak melegakan penduduk kampung itu, seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik gajah berkenaan.

"Operasi tangkapan dan pemindahan gajah liar bukan penyelesaian jangka panjang, memandangkan kawasan kebun berkenaan berhampiran Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor dan bersempadan dengan Hutan Simpan (HS) Temenggor, Perak," katanya.

Katanya, pihaknya menganggarkan populasi gajah liar yang berada di HSK lebih daripada 50 ekor.

"Orang ramai disarankan lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 3:47 PM