Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Beruang matahari (Helarctos malayanus) yang berkeliaran di sekitar Kampung Batu Melintang, Jeli dan merosakkan kebun penduduk, berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya masih lagi memasang perangkap dan melakukan pemantauan berterusan di kawasan kampung sekitar berdekatan berikutan terdapat seekor lagi beruang yang masih berkeliaran.

Katanya, beruang matahari yang sudah ditangkap itu akan diperiksa oleh Pegawai Veterinar Jabatan Perhilitan sebelum dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari penempatan manusia.

"Pada 30 September lalu, Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menerima aduan daripada wakil penduduk Kampung Batu Melintang mengenai dua beruang matahari yang berkeliaran di sekitar kampung dan kebun.

"Kehadiran beruang ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk kampung untuk keluar bekerja.

"Susulan daripada itu, pada hari yang sama, kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menjalankan siasatan di lokasi aduan dan memasang perangkap beruang di lokasi berkenaan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, umpan buah-buahan digunakan untuk menarik perhatian hidupan liar berkenaan dan tugasan pemantauan perangkap di kawasan sekitar kampung juga dijadualkan.

"Hidupan liar ini adalah dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor yang terletak berhampiran dengan Kampung Batu Melintang untuk mencari makanan," katanya.

Mohamad Hafid berkata, justeru khidmat nasihat dan langkah mitigasi sudah diberikan kepada penduduk kampung supaya membersihkan kawasan semak di sekitar kampung dan kebun.

"Pada masa sama, mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa berteman semasa ke kebun, memasang lampu di sekeliling luar rumah pada waktu malam dan tidak masuk ke kawasan kebun pada waktu malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 9:27 AM