EMPAT gajah liar yang ditangkap oleh Perhilitan di Kampung Peralla 1, Tanah Merah, di sini, Rabu lalu. FOTO Ihsan Perhilitan
EMPAT gajah liar yang ditangkap oleh Perhilitan di Kampung Peralla 1, Tanah Merah, di sini, Rabu lalu. FOTO Ihsan Perhilitan
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap empat gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di Kampung Peralla 1, Tanah Merah, di sini, Rabu lalu.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, terdahulu, Pejabat Perhilitan Jeli menerima aduan membabitkan sekumpulan gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan pokok kelapa sawit.

Katanya, enam kakitangan Perhilitan kemudian ke lokasi aduan untuk menjalankan operasi tangkapan.

Menurutnya, hasil tinjauan mendapati sekumpulan 10 gajah liar sudah bergerak ke kawasan kebun getah penduduk.

"Kami berjaya menangkap dua gajah betina dewasa dan dua anak gajah pada 11.30 pagi menggunakan ubat pelali di dalam kebun getah di Kampung Peralla 1, Tanah Merah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, kumpulan gajah liar berkenaan adalah dari ID Tapis yang mendiami Hutan Simpan Air Satan dan Hutan Simpan Jedok.

Katanya, antara kampung yang sering dicerobohi ialah Kampung Peralla 1; Kampung Air Berdang; Kampung Air Kerla; Kampung Bukit Pauh; Kampung Bukit Durian; Kampung Kelisar; dan Kampung Lepan Bola.

Beliau berkata, kesemua gajah akan dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari penempatan manusia.

"Operasi pemindahan akan dilakukan dalam masa terdekat oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Lanchang, Pahang.

"Kita berharap dengan penangkapan ini, jumlah kerugian hasil pertanian dapat dikurangkan, selain memberikan rasa selamat kepada penduduk setempat," katanya.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1- 800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 8:37 AM