GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar di Kampung Sungai Taku dekat Pasir Kelang, Kuala Krai, Sabtu lalu.

Gajah jantan yang dianggarkan berusia 15 hingga 20 tahun itu ditangkap selepas mendapat aduan penduduk kampung yang terkesan akibat gangguan haiwan itu menyebabkan penduduk kerugian RM65,000.

Perhilitan pada kenyataan semalam berkata, gajah seberat dua tan itu ditangkap selepas pihaknya mengambil tindakan seperti tembak halau bagi menghalau ia kembali ke hutan simpan berhampiran, namun tidak berhasil.

"Operasi menangkapnya dijalankan Perhilitan Kelantan bermula Khamis lalu.

"Gajah liar ini ditangkap bagi mengelak kerugian berterusan serta memastikan keselamatan penduduk kampung.

"Ia dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 14 ekor," katanya.

Menurutnya, operasi pemindahan gajah liar jantan berkenaan dilakukan jam 8 pagi tadi, dan ia mengambil masa dua jam.

"Operasi disertai kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Pahang dan Perhilitan Kelantan.

"Khidmat gajah denak iaitu Rambai dan Abot dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga turut digunakan bagi membantu operasi pemindahan gajah liar berkenaan.

"Gajah liar ini akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negeri Royal Belum (TNRB), Perak," katanya.

Beliau berkata, ada beberapa faktor menyebabkan gajah liar berkeliaran di sekitar kawasan perkampungan.

Antaranya berikutan pengecilan kawasan habitat hidupan liar serta tarikan sumber makanan yang mudah diperoleh di kawasan kampung.

Selain itu, katanya, terdapat kebun yang bersemak samun dan keadaan ini menjadikan ia sesuai sebagai habitat sementara atau laluan gajah-gajah liar ini.

"Tindakan tangkap pindah bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan kebun penduduk berhampiran hutan simpan.

"Kita percaya, beberapa bulan lagi, gajah liar lain dari kawasan hutan simpan berkenaan akan kembali ke kebun penduduk berikutan tarikan sumber makanan seperti pisang dan kelapa sawit.

"Oleh itu, cadangan pembinaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) adalah langkah paling berkesan bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun, seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 5:29 PM