GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Kes buli di sebuah sekolah menengah di Kerian yang tular di media sosial baru-baru ini selesai selepas kedua-dua pihak bersepakat dan mangsa menarik semula laporan polis yang dibuat Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Khairudin Abu Hanipah berkata beliau difahamkan perkara itu telah diselesaikan di peringkat laporan polis melalui perjumpaan diatur oleh Pejabat Pendidikan Daerah.

"… pihak sekolah termasuk keluarga mangsa dan pelaku kejadian telah mencapai satu kesepakatan bersama," katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Jurnal Bacaan Propulih dan Modul Key To Excellence STPM 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit 21 saat, memaparkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dibuli oleh dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah sama.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 14 Jun di sebuah sekolah menengah di daerah Kerian itu didakwa berpunca dari sikap cemburu salah seorang suspek terhadap mangsa selepas dikatakan rapat dengan teman lelakinya berusia 15 tahun dari sekolah sama.

Bagaimanapun, Khairudin berkata dua pelajar terbabit telah diambil tindakan perlu oleh pihak sekolah.

Beliau berkata jawatankuasa disiplin sekolah terlibat dalam mesyuarat pada Selasa telah sebulat suara mengambil tindakan sewajarnya kepada kedua-dua pelaku.

"Mereka juga telah menghantar laporan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenai tindakan yang telah diambil seperti termaktub dalam pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Cuma kita tak boleh mendedahkan secara terperinci apa tindakan yang sudah diambil terhadap isu berkenaan, tetapi tindakan perlu telah diambil," katanya sambil menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu buli tanpa tolak ansur bagi memberi pengajaran agar tidak berulang pada masa akan datang.

Mengulas mengenai program hari ini, Khairudin berkata Jurnal Bacaan Propulih Menengah Rendah merupakan antara inisiatif untuk meningkatkan penguasaan pembelajaran di kalangan pelajar sekolah menengah.

Program kerjasama antara Yayasan Perak dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak itu merupakan salah satu inisiatif bagi membantu meningkatkan penguasaan kemahiran dengar tutur, membaca dan menulis murid sekolah menengah, tambah beliau.

"Inisiatif ini turut membantu murid yang telah tertinggal di dalam pembelajaran agar tidak tercicir dan diabaikan, selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 8:05 PM