LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ercy Gracella Ajos


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil perhatian laporan media mengenai kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh yang tular.

Katanya, salah laku buli dan gangguan seksual adalah salah laku berat dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

"Justeru, KPM komited menangani isu ini dan dibuktikan menerusi garis panduan menangani salah laku buli dan gangguan seksual yang telah dilancarkan pada bulan September 2023.

"Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM," katanya

Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima di MCKK berpandukan hantaran yang tular di media sosial, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.

Turut ditular adalah sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku buli terbabit yang dikatakan sekadar diarah berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah, berbanding tindakan tegas seperti buang sekolah.

Menyusuli itu, PIBG MCKK menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan kes buli itu sudah selesai disiasat dan diambil tindakan oleh pihak sekolah.

Justeru itu, PIBG MCKK mengambil beberapa pendirian termasuk menganggap keputusan sekolah dianggap telus tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, KPM berkata tiga saluran utama disediakan KPM bagi membolehkan orang ramai termasuk murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat laporan mengenai kes buli dan gangguan seksual iaitu menerusi talian khas Aduan Buli, emel [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

"KPM turut memantau kesegeraan penyampaian maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard iaitu pada kadar 1:3:7 hari.

"KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 10:06 PM