KHAIRUDIN pada sidang media hari ini. FOTO L Manimaran
KHAIRUDIN pada sidang media hari ini. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan negeri Perak sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan kes buli di sebuah sekolah sukan negeri di Gunung Rapat, di sini.

Kes membabitkan dua pelajar masing-masing tingkatan tiga dan tingkatan lima yang juga atlet lelaki bagi sukan sepak takraw.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, pihaknya dimaklumkan dimaklumkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara yang kejadian berlaku minggu lalu.

Menurutnya, ia sudah menjadi kes polis apabila ibu mangsa pelajar tingkatan tiga membuat laporan polis di Kuala Lumpur berhubung kejadian buli berkenaan atas faktor keselamatan mangsa.

"Saya difahamkan pihak sekolah sudah mendapat laporan penuh daripada mangsa dan pelaku buli itu.

"Kita harus tunggu laporan penuh itu untuk kita pastikan kronologi kejadian buli itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kit Kesihatan Pergigian Murid di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya difahamkan pelajar tingkatan tiga itu ditendang selain dipijak oleh pelajar tingkatan lima.

"Kita tidak boleh mengatakan kecederaan dihadapi mangsa itu sama ada teruk atau cedera ringan kerana ia bergantung kepada pemeriksaan dan laporan perubatan yang akan dikeluarkan pihak berkuasa khususnya daripada doktor.

"Cuma yang saya difahamkan mangsa ditendang dan dipijak," katanya.

Khairudin berkata, pada masa ini pihak sekolah sudah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya untuk menyelesaikan serta menyiasat kes itu termasuk membenarkan mangsa bercuti untuk dibawa pulang keluarganya ke Kuala Lumpur termasuk bagi mendapat pemeriksaan lanjut.

"Saya difahamkan pihak sekolah sudah mengambil langkah awal untuk menangani dan mencegah kes daripada berlanjutan kepada mangsa lain, termasuk memberi cuti kepada pelaku kes ini atau digantung sekolah.

"Namun itu bergantung kepada siasatan yang akan dilakukan oleh lembaga disiplin dan laporan daripada pihak berkuasa.

"Sebarang tindakan bergantung kepada siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 4:34 PM