Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan jumlah kes buli di sekolah terus melonjak dengan sebanyak 4,994 kes direkodkan setakat Oktober tahun ini.

Angka itu menunjukkan peningkatan kes salah laku buli di sekolah berbanding dua tahun sebelumnya, iaitu pada 2021 dan 2022.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, kes buli bagi 2021 lebih rendah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani gelombang Covid-19.

"Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM bagi tempoh tiga tahun, sejumlah 326 kes direkodkan pada 2021, manakala pada 2022, sebanyak 3,887 kes. Bagi 2023, sehingga Oktober lalu, sebanyak 4,994 kes direkodkan.

"Siasatan telah dijalankan bagi semua kes ini dan tindakan susulan telah diambil terutama dari segi bimbingan dan kaunseling," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu jumlah keseluruhan kes buli yang direkodkan sepanjang tahun dan apakah langkah diambil KPM bagi menanganinya.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, bagi menangani gejala buli di sekolah, ia memerlukan pembabitan menyeluruh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Pada masa sama, katanya, kementerian telah mewujudkan Jawatankuasa Anti Buli di setiap Jabatan Pendidikan Negeri bagi menangani gejala berkenaan.

"Antara inisiatif KPM termasuk mengeratkan hubungan murid dan guru melalui amalan guru penyayang di sekolah. Ia bertujuan menerapkan budaya penyayang dalam kalangan guru dan murid di sekolah, sekali gus meningkatkan hubungan antara keduanya.

"Selain itu, KPM turut mengadakan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS).

"Ada seorang PPS di setiap sekolah yang mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah termasuk mengadakan program berkaitan buli, malah PPS juga akan melaporkan kes buli kepada KPM," katanya.

Menurutnya, KPM turut mempelbagaikan platform bagi aduan buli bagi membolehkan murid, ibu bapa dan orang awam membuat aduan terus kepada kementerian itu dengan maklumat disalurkan itu adalah dilindungi.

"Ada empat saluran utama untuk aduan buli iaitu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), e-mel, talian telefon dan aplikasi Whatsapp.

"KPM juga tidak menolak untuk menambah guru kaunseling sekiranya kes buli di sekolah terus meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 11:33 AM