Keadaan kereta yang dinaiki dua beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Taman Siniawan, Bau, di sini, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Keadaan kereta yang dinaiki dua beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Taman Siniawan, Bau, di sini, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Dua beranak maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan tiga lagi kenderaan lain di Jalan Taman Siniawan, Bau, di sini, hari ini.

Mangsa Atong anak Nebok, 64 dan anaknya Wilson, 36, yang tersepit di dalam kereta Perodua Kancil, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.54 petang.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau diarahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, van, Perodua Kancil dan Proton Persona.

"Dua mangsa tersepit di dalam Perodua Kancil apabila kereta itu dirempuh lori dari belakang, kemudian kereta mereka merempuh pula van di hadapan. Mereka disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa di dalam tiga lagu kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:42 PM