ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Nur Syazwana Mansor


Pendang: Lelaki cedera manakala kakaknya pengsan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 71.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Asmawi Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.19 malam dan seorang pegawai bersama lima anggota bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan membabitkan Honda CRV bernombor pendaftaran Thailand, Toyota Velfire, Perodua Kancil dan Proton Persona.

Katanya, lelaki dipercayai pemandu Proton Persona, Mohd Hafiz Hazim Munajar, 19, cedera manakala kakaknya, Anis Hazwani, 23, pengsan, namun tidak mengalami kecederaan serius.

Katanya, kedua-dua mangsa terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar menaiki jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Guar Chempedak untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Pihak kami difahamkan pemandu dan penumpang kenderaan lain selamat dan tidak mengalami kecederaan.

"Operasi tamat pada 10.18 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 9:17 AM