Keadaan dua kenderaan yang terbabit dengan kemalangan di Batu 13 Jalan Rompin-Kuantan yang menyebabkan tiga maut. FOTO IHSAN JBPM
Keadaan dua kenderaan yang terbabit dengan kemalangan di Batu 13 Jalan Rompin-Kuantan yang menyebabkan tiga maut. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Pemandu bersama dua penumpang kereta Perodua Kancil maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Batu 13 Jalan Rompin-Kuantan, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Perodua Kancil itu dari arah bandar Rompin dalam perjalanan pulang ke Kampung Gading sebelum bertembung dengan van terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin diketuai Muhammad Aizudden Jusnaidi bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.27 tengah hari.

"Sebaik tiba, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan memotong.

"Mereka yang maut adalah seorang lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa akibat cedera parah pada anggota badan kerana tersepit dalam kenderaan.

"Manakala, pemandu van hanya cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Katanya, mayat tiga mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 6:06 PM