KEMALANGAN membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Tagasan Semporna - Tawau, di sini, semalam. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Tagasan Semporna - Tawau, di sini, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Tiga sekeluarga maut termasuk ibu bersama bayi berusia sepuluh bulan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Tagasan Semporna - Tawau, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang itu membabitkan kereta Perodua Kancil, pacuan empat roda (4WD) jenis Ford dan sebuah lori 20 tan yang membawa muatan buah kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tiga mangsa yang maut disahkan adalah penumpang Perodua Kancil dinaiki lima sekeluarga.

"Mangsa yang maut ialah isteri kepada pemandu Perodua Kancil berumur 30 tahun yang memangku bayi mereka dan duduk di bahagian kerusi penumpang hadapan sementara pemandu bersama seorang lagi penumpang wanita (adik) berusia 27 tahun masing-masing cedera di kepala dan patah tangan kiri.

"Manakala seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 13 tahun (anak saudara) yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di hospital Semporna," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Farhan berkata nahas berlaku apabila kenderaan dipandu suami mangsa dari arah Kampung Lihak menuju ke Kampung Salimbangun manakala kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Ford yang dipandu pemuda berusia 21 tahun dari laluan yang sama.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian pemandu Peroda Kancil dikatakan memperlahankan kenderaannya sebelum secara tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh pacuan empat roda terbabit mengakibatkan ia masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori 20 tan yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat dari rempuhan itu, dua penumpang maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Semporna.

"Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda termasuk pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, pemandu Ford terbabit bagaimanapun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu pada jam 4.29 petang.

"Terdapat lima orang mangsa tersepit di dalam kenderaan Perodua Kancil berjaya di keluarkan pasukan Bomba menggunakan Peralatan Khas.

"Dua mangsa meninggal dunia disahkan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya, manakala 3 orang lagi mangsa mengalami cedera parah di hantar ke hospital Semporna," katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 5.14 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 8:31 AM