KONG menunjukkan laporan polis yang dibuat kerana ditipu oleh teman lelaki pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Majlis MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi
KONG menunjukkan laporan polis yang dibuat kerana ditipu oleh teman lelaki pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Majlis MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Pamer sifat lemah lembut bagi menambat hati wanita dikenali sebelum memujuk mereka menyerahkan wang simpanan serta membuat pinjaman bank dan ceti haram untuk kegunaan dirinya.

Itu taktik digunakan kasanova berusia 36 tahun yang dikesan menggunakan aplikasi janji temu untuk menjerat wanita bagi mendapatkan wang.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Kong, 30, berkata, dia mengenali seorang lelaki dikenali sebagai Wong itu menerusi aplikasi janji temu pada Julai 2021.

"Selepas beberapa bulan berkenalan, dia mula meminjam wang saya dengan alasan untuk membantu perniagaan syarikat pembinaannya.

"Apabila wang simpanan saya lebih RM60,000 habis diserahkan kepada dia, teman lelaki mula meminta saya membuat pinjaman bank, memohon kad kredit, meminjam wang along serta rakan-rakan.

"Bagi tempoh dari Ogos 2021 hingga awal tahun ini, saya sudah membuat pinjaman daripada lima along, dua pinjaman peribadi, empat kad kredit serta meminjam wang lima rakan membabitkan kerugian hampir setengah juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 22, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis MPAJ) Zon 22 Yew Jia Haur.

Kong berkata, selain itu, lelaki terbabit juga ada mengajaknya menyertai pelaburan perniagaan bersama seorang Tan Sri dengan menjanjikan pulangan dividen lebih RM10,000 sebulan.

"Apa yang membuatkan saya percaya menyerahkan wang serta membuat pinjaman untuk teman lelaki kerana dia selalu menunjukkan sifat keagamaan.

"Selain itu, dia juga selalu mengingatkan saya supaya terus melabur itu sekiranya tidak mahu modal pelaburan berkenaan 'hangus' begitu saja," katanya.

Menurutnya, dia juga mengesyaki akaun bank miliknya digunakan lelaki itu sebagai akaun keldai dengan anggaran RM70,000 masuk ke dalam akaun berkenaan bagi tempoh hujung 2021 hingga bulan lalu.

"Saya ada bertanyakan perkara ini dan dia memaklumkan bahawa individu tidak dikenali yang memasukkan wang ke dalam akaun saya mempunyai hutang dengannya.

"Dia maklumkan wang dimasukkan itu untuk membayar hutangnya kepada saya, namun kadang-kadang dia meminta saya bagi wang itu kepadanya," katanya.

Kong yang juga kakitangan swasta berkata, dia hanya menyedari dirinya ditipu selepas menemui bekas kekasih teman lelakinya itu di media sosial yang memaklumkan bahawa lelaki berkenaan adalah penipu.

"Selepas mengetahui perkara itu, saya berhenti menyerahkan wang kepadanya dan dia semakin sukar dihubungi dengan memberi pelbagai alasan apabila ditanya mengenai hutang serta dividen pelaburan.

"Saya kini buntu memikirkan cara menyelesaikan hutang pinjaman termasuk dengan along yang kerap mengugut untuk menyebarkan gambar saya di media sosial," katanya yang membuat dua laporan polis berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 2:58 PM