GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kasanova yang menyara kehidupannya dengan menipu akhirnya kecundang selepas ditahan polis di Lembah Klang, kelmarin, selepas memperdaya beberapa mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, lelaki berusia 34 tahun itu yang tidak bekerja menipu mangsa bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupannya.

Menurutnya, JSJK Kuala Lumpur menerima laporan polis dari kerani sebuah syarikat swasta pada 9 April lalu selepas wanita berusia 39 tahun berkenalan dengan suspek melalui laman sosial.

"Dalam perkenalan itu suspek berjanji akan berkahwin dengan mangsa dan meminta bantuannya dari segi kewangan untuk membayar hutang peribadi suspek dan perbelanjaan perkahwinan.

"Mangsa kemudian berjumpa dengan suspek di sebuah bilik hotel di ibu negara dan menyerahkan barang kemas bernilai RM30,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahidisham berkata, dalam perjumpaan yang lain, suspek kemudiannya menunjukkan dokumen pembelian rumah kepada mangsa dan meminta bantuan mangsa untuk berkongsi pembayaran wang deposit pembelian rumah itu.

"Mangsa kemudiannya, memberikan wang tunai sebanyak RM122,500 kepada suspek secara berperingkat.

"Mangsa yang kemudiannya mendapat tahu bahawa suspek pernah melakukan perkara yang sama terhadap beberapa mangsa lain di hotel yang sama tampil dan membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM152,500 dan susulan itu polis menahan suspek di Lembah Klang.

"Polis turut merampas tiga telefon bimbit, wang tunai RM18,000, sembilan jongkong emas, lapan keping dinar dengan anggaran keseluruhan barang kemas bernilai RM30,000.

"Suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 5:39 PM