PEMANDANGAN tanah terbiar yang kini dihiasi pokok Cherry Blossom buatan, buaian dan batu sungai menarik perhatian pengunjung yang datang untuk bergambar.
PEMANDANGAN tanah terbiar yang kini dihiasi pokok Cherry Blossom buatan, buaian dan batu sungai menarik perhatian pengunjung yang datang untuk bergambar.
Agensi

Beijing: Demi memenangi semula hati bekas kekasih, seorang lelaki membelanjakan 100,000 Yuan (kira-kira RM62,837) untuk menjalankan projek transformasi tanah terbiar dekat tasik berhampiran kampungnya di Hetou, China menjadi Pulau Cinta sebagai simbolik kasihnya yang masih utuh.

Menariknya, pemandangan kawasan itu ceria dengan warna merah jambu kerana dihiasi pokok Cherry Blossom buatan, buaian, batu sungai dan banyak lagi hingga menarik perhatian pengunjung yang datang untuk bergambar.

Difahamkan, Xiao Xu, 30 dan bekas kekasihnya menjalin hubungan sejak 2018 dan berpisah tahun lalu selepas dia mengambil keputusan pulang ke kampung demi menjaga ibu bapanya.

Namun, bekas kekasihnya yang membesar di Guangzhou enggan meninggalkan kehidupan di kota dan keluarga juga tidak mengizinkannya tinggal di luar bandar menyebabkan mereka sepakat membawa haluan masing-masing.

Bagi menzahirkan rasa cinta terhadap bekas kekasih, Xiao memulakan langkah mengubah wajah tanah terbiar di kampungnya bermula 20 Disember lalu.

Dia tidak berseorangan kerana turut meminta bantuan penduduk menghiasi dan membina jambatan di Pulau Cinta itu.

Sebaik kerja transformasi selesai lelaki itu menghantar gambar hasil kerja kepada bekas kekasih dan wanita berkenaan kagum, namun tidak memberi maklum balas seperti diharapkan.

"Terima kasih atas dedikasi dan keikhlasan kamu. Kamu akan jumpa seseorang yang lebih baik dari saya," demikian jawapan balas bekas kekasih Xiao Xu.

Meskipun hampa, Xiao Xu tidak mensia-siakan projek Pulau Cinta dibangunkannya itu, tetapi membiarkannya menjadi tempat kunjungan orang ramai yang turut berkongsi gambar hingga tular di laman sosial.

"Ia (Pulau Cinta) mungkin tidak menjadi seperti yang saya harap, tetapi tempat itu sekurang-kurangnya menjadi saksi penyatuan pasangan lain. Itu sudah cukup baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:31 AM