GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Wanita bekerja sebagai jururawat mangsa kedua yang tampil membuat laporan polis kelmarin selepas media mendedahkan penahanan kasanova yang menyara kehidupannya dengan menipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, selepas media menyiarkan laporan berkaitan kegiatan itu, mangsa berusia 28 tahun tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya dengan taktik sama oleh suspek kerugian RM69,500.

"Suspek akan disambung reman bagi membantu siasatan selepas perintah tahanan remannya tamat semalam.

"Setakat ini kita percaya suspek sudah memperdaya lapan mangsa wanita dan polis meminta individu yang menjadi mangsa penipuan suspek tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro kelmarin melaporkan kasanova yang menyara kehidupannya dengan menipu akhirnya kecundang selepas ditahan polis di Lembah Klang, selepas memperdaya beberapa mangsa.

Lelaki berusia 34 tahun itu yang tidak bekerja menipu mangsa bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 2:53 PM