KEADAAN badan mangsa yang luka selepas bergelut dengan seekor buaya di Sungai Gadong, Beaufort. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN badan mangsa yang luka selepas bergelut dengan seekor buaya di Sungai Gadong, Beaufort. FOTO Ihsan pembaca
Juwan Riduan

Beaufort: Seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri selepas bergelut dengan seekor buaya dalam kejadian di kawasan laut di Sungai Gadong, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa Kasturi Alang, 53, terpaksa menerima 17 jahitan selepas cedera di bahu dan belakang badan akibat digigit reptilia berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dan isteri serta ibu mentua pergi ke tempat kejadian untuk mencari siput.

"Kami berpecah dan pergi ke tempat berasingan. Bagaimanapun, dalam sekelip mata, saya diserang dari arah belakang oleh buaya. Saya terpaksa bergelut hampir lima minit di dalam air sebelum berjaya melepaskan diri.

"Isteri dan ibu mentua yang berada berhampiran juga tidak dapat berbuat apa-apa namun bernasib baik kerana tidak diserang buaya berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas berjaya menyelamatkan diri, dia menyedari mengalami kecederaan di belakang badan dan bahu kanan.

"Kami bergegas keluar dari kawasan itu dan terus ke Klinik Kesihatan Padas Damit untuk mendapatkan rawatan.

"Saya kemudiannya dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan menerima lanjut susulan kecederaan yang dialami," katanya.

Kasturi yang tinggal di Kampung Bintuka berkata, sebelum ini mereka sedia maklum kawasan itu sememangnya ada buaya namun tidak pernah berlaku sebarang kejadian serangan haiwan berkenaan.

Katanya, dia bersyukur kerana terselamat dan kini berada dalam keadaan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 2:51 PM