SHAARI Hasan (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
SHAARI Hasan (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan kambing betina.

Tertuduh, Shaari Hasan, 60 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan haiwan iaitu kambing betina di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 27 Julai lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah yang mengendalikan kes tidak menawarkan jaminan memandangka ia adalah kes serius.

Namun peguam tertuduh, Zolazrai Zolkapli memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya hidup sebatang kara.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Disember depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.

Pada 28 Julai lalu, Harian Metro melaporkan tindakan jijik seorang lelaki warga emas yang melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina menyebabkan haiwan berkenaan ditemui mati di kandangnya.

Dia ditahan polis di kawasan semak di Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya di sini, pada jam 10.50 pagi sehari selepas kejadian dan mendapat perintah reman tujuh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:00 PM