Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor sedang menyiasat video kemunculan seekor buaya tembaga di Sungai Selangor, di sini, seperti tular di laman sosial, semalam.

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, ketika ini pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan perkara terbabit.

"Sungai itu secara umumnya habitat semula jadi buaya tembaga. Penduduk sedia maklum mengenai kehadiran banyak reptilia berkenaan dan memaklumkannya kepada kami.

"Menjadi kebiasaan penduduk yang pergi memancing terserempak dengan buaya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, papan tanda amaran dipasang di kawasan terbabit yang kerap dikunjungi orang awam.

"Pemasangan papan itu hasil kerjasama penduduk setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita akan menjalankan pemantauan secara berterusan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada ketika berada di sungai itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu, tular video berdurasi 23 saat memaparkan seekor buaya bersaiz besar ditemukan di kawasan paya bakau sungai berkenaan.

Video itu dipercayai dirakam orang awam atau pemancing namun tiada kejadian buruk berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 4:31 PM