M KUMARASAN (kanan) menunjukkan ganja yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri . FOTO Izz Laily Hussein
M KUMARASAN (kanan) menunjukkan ganja yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri . FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein

Iskandar Puteri: Tindakan kali kedua seorang 'transporter' membawa masuk ganja ke negeri ini untuk diedarkan gagal apabila dia dicekup polis, minggu lalu.

Lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan polis selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika memandu sebuah Honda City di tepi jalan sekitar kawasan Horizon Hills di sini, jam 2.30 petang, 8 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek yang juga seorang penganggur itu ditahan Unit Cawangan Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum pemeriksaan ke atas kereta terbabit menjumpai sejumlah dadah.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 63,487 gram atau 60 paket ganja yang dianggarkan bernilai RM210,150 di bahagian but kereta itu.

"Jumlah dadah ini dipercayai boleh digunakan oleh 64,000 pengguna jika terlepas ke pasaran," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan, suspek dipercayai bergerak secara berkumpulan dengan modus operandi sindiket itu adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari luar Johor sebelum dibawa masuk ke negeri ini untuk pasaran tempatan.

"Sindiket ini berpangkalan di Johor dan aktif sejak Januari lalu. Suspek dipercayai datang untuk menyerahkan dadah ini kepada seorang lagi suspek yang kita kenal pasti.

"Setiap kali suspek menghantar bekalan ini, dia akan dibayar antara RM2,000 hingga RM5,000 bagi satu perjalanan," katanya.

Kumarasan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif ganja, manakala semakan rekod pula mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, polis turut menyita kenderaan dipandu suspek yang dianggar bernilai RM9,500.

"Suspek masih di dalam tahanan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kumarasan berkata, pihaknya juga sedang giat menjejaki seorang lagi suspek dikenali sebagai L Kesavah Raj berusia 30 tahun dan beralamat di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:14 PM