Tujuh lelaki ditahan dalam Op Mabuk JSPT Johor pada malam Krismas. FOTO IHSAN POLIS
Tujuh lelaki ditahan dalam Op Mabuk JSPT Johor pada malam Krismas. FOTO IHSAN POLIS
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tujuh lelaki ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Stulang Laut di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintenden M Kumarasan berkata, semua ditahan adalah warga tempatan berusia antara 20 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, Op Mabuk itu diadakan sempena Krismas bagi mengesan dan membanteras pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Sempena sambutan perayaan Krismas, kami melaksanakan Op Mabuk di Jalan Stulang Laut bermula 9 malam dan tujuh lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Polis turut mengeluarkan sejumlah 48 saman kepada pengguna jalan raya lain membabitkan pelbagai kesalahan," katanya.

Kumarasan berkata, semua individu ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 11:48 PM