ANTARA yang ditahan di Lebuh Raya Senai Desaru malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA yang ditahan di Lebuh Raya Senai Desaru malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tujuh samseng jalanan yang sedang asyik berlumba haram di Lebuh Raya Senai - Desaru, ditahan, malam tadi.

Dalan kejadian kira-kira 8 malam itu, 13 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dikejarkan ke lokasi berkenaan selepas mendapat makluman awam.

Ketua JSPT, Superintenden M Kumarasan, berkata ketika tiba di lokasi kesemua tujuh lelaki berkenaan didapati melakukan aksi bahaya di jalan raya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Ketika ditahan, mereka memberi alasan berlumba untuk melepaskan gian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini dilaksanakan berikutan kebosanan.

"Semua yang ditahan berusia antara 17 hingga 23 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 108 APJ 1987 selain tindakan ingkar PKP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumarasan berkata, hasil ujian air kencing terhadap semua tangkapan mendapati seorang daripada tujuh suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek itu disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Tujuh motosikal pelbagai jenama turut disita selain mengeluarkan lapan saman atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, Lebuh Raya Senai Desaru adalah antara lokasi panas bagi aktiviti samseng jalanan berdasarkan aduan yang diterima.

"Hasil operasi yang berterusan oleh JSPT Johor berjaya mengekang masalah sosial ini daripada terus berleluasa.

"Kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dalam aspek pemantauan dan penyeliaan anak mereka. Pantau aktiviti anak ketika tempoh PKP ini supaya tidak terjebak dengan masalah sosial seperti ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 12:57 PM