Nurul Amanina Suhaini


SEBANYAK 589 saman dikeluarkan menerusi Ops Ambang Merdeka Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang dijalankan di 13 daerah seluruh Johor, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, ia membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen, mengubahsuai kenderaan dan nombor pendaftaran, selain 74 pelbagai kenderaan disita.

Katanya, operasi yang bermula serentak pada 9 malam hingga 4 pagi tadi itu membabitkan 21 pegawai kanan dan 167 anggota.

Beliau berkata, seramai 20 individu tempatan ditahan termasuk 11 pemandu berusia 20 hingga 50 tahun mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan dalam pengaruh alkohol.

"Tujuh tangkapan berusia 15 hingga 22 tahun bagi Ops Samseng Jalanan (OSJ) mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu melakukan aksi bahaya di jalan awam.

"Selain itu, dua tangkapan berusia 43 dan 57 tahun mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana ujian air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya selepas meninjau operasi berkenaan di Jalan Stulang Laut, dekat Johor Bahru, malam tadi.

KUMARASAN (tengah) meninjau Ops Ambang Merdeka di SJR Jalan Stulang Laut, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
KUMARASAN (tengah) meninjau Ops Ambang Merdeka di SJR Jalan Stulang Laut, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini.

Kumarasan berkata, Ops Ambang Merdeka ini membabitkan semua daerah di Kontinjen Johor, selain penugasan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi 'hot spot' dan terancang yang mensasarkan pemandu mabuk dan risikan maklumat dari Skuad 42 bagi kegiatan samseng jalanan.

Katanya, operasi ini bagi memastikan sambutan hari kemerdekaan tidak dicemari dengan kegiatan tidak sihat seperti lumba haram, memandu dalam pengaruh alkohol, penyalahgunaan dadah dan kesalahan lain yang berkaitan undang-undang jalan raya.

Beliau berkata, selain memastikan aliran trafik bergerak lancar dan terkawal ketika cuti umum, operasi itu secara tidak langsung mencegah daripada berlakunya kemalangan jalan raya dan kejadian jenayah.

"Perangkaan operasi dan tangkapan JSPT Johor bagi tempoh sepanjang Ogos ini merangkumi 45 Ops Mabuk dengan 72 tangkapan dan 21 Ops Samseng Jalanan dengan 40 tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 8:33 AM