M KUMARASAN (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di kereta usang di Taman Bukit Indah. FOTO Mary Victoria Dass
M KUMARASAN (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di kereta usang di Taman Bukit Indah. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kenderaan usang sebagai tempat penyimpanan dadah di Taman Bukit Indah di sini, sejak September lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih tujuh kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM449,825.

Beliau berkata, bertindak atas risikan, pihaknya menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun ketika melakukan serbuan di sekitar Taman Bukit Indah, 13 Mei lalu.

Katanya, tangkapan dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri terhadap suspek yang melakukan kegiatan itu t sejak September lalu.

"Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan kenderaan usang sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Tindakan ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa, bagaimanapun helah ini terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan pasukan polis terhadap kereta usang yang berada di dalam kawasan rumah itu," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, pasukan polis merampas 260 paket ganja seberat 1kg, tiga bungkusan syabu (2.1kg), 4,675 biji pil ekstasi (1.95kg) dan pil erimin 5 (1.9kg) yang disimpan di dalam but kereta usang itu.

Menurutnya, dalam serbuan sama, polis turut merampas sebuah kereta dan tiga motosikal dengan nilai sitaan berjumlah RM14,000.

Katanya, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk dijual di pasaran di negeri ini dan boleh digunakan oleh seramai 64,000 orang.

"Pemeriksaan terhadap dua suspek yang terdiri daripada pekerja kilang dan penganggur itu didapati positif dadah ganja dan amphetamine.

"Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan dan merusuh.

"Kita percaya kedua-dua suspek itu memperoleh bekalan dadah ini dari negeri lain setelah mereka berdua bukan penduduk negeri ini," katanya.

Menurutnya, polis sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki bernama R Selan, 31, dipercayai rakan kepada dua suspek yang ditahan ini dan alamat terakhirnya adalah di Jalan Mega 15, Taman Mega Jaya, Ampang, Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 4:58 PM