Penunggang p-hailing dikesan menyalahi peraturan jalan raya dalam operasi khas p-hailing di sekitar bandar raya ini. FOTO Ihsan PDRM
Penunggang p-hailing dikesan menyalahi peraturan jalan raya dalam operasi khas p-hailing di sekitar bandar raya ini. FOTO Ihsan PDRM
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis mengingatkan penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) supaya tidak mempertaruhkan nyawa dan membahayakan pengguna jalan raya semata-mata mahu mengejar 'trip'.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Johor M Kumarasan berkata, pihaknya melakukan operasi khas secara berkala bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga fasa endemik namun sikap penunggang e-hailing tidak berubah.

Beliau berkata, misalnya berdasarkan operasi dijalankan di Jalan Abdullah Tahir baru-baru ini, secara puratanya, kira-kira 30 hingga 40 penunggang p-hailing dikesan menunggang secara berbahaya dalam tempoh kurang sejam dan dikenakan tindakan kompaun.

Menurutnya, selain bertujuan mengambil tindakan terhadap penunggang p-hailing, operasi khas berkenaan juga bertujuan mendidik golongan itu mematuhi peraturan di jalan raya.

Katanya, malangnya, ramai penunggang p-hailing masih sanggup menggadai nyawa mereka apabila berulang kali gagal mematuhi peraturan di jalan raya.

"Ada antara mereka menyatakan melanggar peraturan kerana tiada kehadiran polis ketika itu.

"Malah majoritinya menyedari perbuatan mereka bersalah namun kerana mahu mengejar 'trip' menyebabkan kebanyakan penunggang motosikal p-hailing sanggup menggadaikan nyawa mereka.

"Antara kesalahan yang kerap dilakukan termasuk melanggar lampu isyarat merah dan menggunakan telefon bimbit.

"Tunggang motosikal ikut sesuka hati termasuk bawa laju, mencelah, belok sesuka hati sudah sebati dengan majoriti penunggang p-hailing," katanya ketika dihubungi.

Kumarasan berkata, tindakan sedemikian rupa, bukan sahaja merisikokan mereka kepada keberangkalian tinggi terbabit kemalangan malah boleh membabitkan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata, berita kemalangan membabitkan golongan pekerjaan ini sehingga mengakibatkan kecederaan parah, kecacatan kekal mahupun meninggal dunia sudah banyak kali dipaparkan media sama ada menerusi medium elektronik mahupun cetak.

Menurutnya, selain tindakan dilaksanakan pihak berkuasa, semua syarikat pengendali perlu mengambil tindakan berdasarkan aduan diterima berikutan perbuatan penunggang p-hailing menjejaskan imej syarikat berkenaan.

Katanya, langkah itu dapat memupuk kesedaran penunggang p-hailing supaya memastikan keselamatan ketika berada di jalan raya kerana ia sumber pendapatan mereka.

"Misalnya mereka yang didapati gagal mematuhi peraturan jalan raya berdasarkan aduan diterima mungkin 'direhatkan' oleh pengurusan syarikat penyedia perkhidmatan untuk tempoh tertentu," katanya.

Kumarasan berkata, mereka bekerja bersandarkan kecepatan penghantaran makanan dipesan dan bukannya keselamatan dititikberatkan.

"Semua pihak terutama syarikat pengendali perlu memainkan peranan dalam membantu mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan pekerja ini selain memupuk kesedaran mereka berkaitan peraturan jalan raya," katanya.

Pada April 2021, akhbar ini melaporkan dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada tahun 2020 membabitkan penunggang p-hailing iaitu perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 5:14 PM