TUAN Ibrahim. FOTO Arkib BERNAMA
TUAN Ibrahim. FOTO Arkib BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Majlis Syura Ulama PAS dijangka akan menerima senarai terakhir calon yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, minggu ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sama ada Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim dan Musalmah Yusop iaitu isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dicalonkan sebagai calon adalah belum pasti.

"Belum pasti dan syura belum menerima senarai terakhir untuk pertimbangan. Majlis Syura Ulama adalah badan yang akan mengesahkan kelayakan seseorang calon untuk bertanding.

"Biasanya, negeri menghantar dua tiga nama untuk pertimbangan. Dijangka syura akan menerima senarai terbabit pada minggu ini.

"Buat masa ini, belum pasti siapa yang akan dipertaruhkan oleh parti mewakili PN," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilapor menyatakan gabungan berkenaan akan mengumumkan calon bagi PRK Sungai Bakap pada 15 Jun depan.

Pada 6 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 3:57 PM