AZMI (empat kiri) pada sidang media PRK Sungai Bakap. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
AZMI (empat kiri) pada sidang media PRK Sungai Bakap. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Pulau Pinang memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, Azmi berkata, 552 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Dun Sungai Bakap.

"Manakala sebanyak sembilan buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 tempat mengundi dan satu tempat mengundi awal akan digunakan.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 10 buah dengan 66 tempat mengundi," katanya.

Beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Dun Sungai Bakap adalah daftar pemilih terkini iaitu Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2024 yang dikemaskini sehingga 24 Mei 2024.

"DPPR ini mengandungi seramai 39,279 orang pemilih yang terdiri daripada 39,222 orang pengundi biasa dan 57 orang anggota polis," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara dibuka bermula hari ini.

Katanya, tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media adalah pada 20 Jun.

"13 Jun pula adalah tarikh tutup bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 1C membabitkan agensi atau organisasi," katanya.

SPR menetapkan hari pengundian PRK Sungai Bakap pada 6 Julai depan, dengan tarikh penamaan calon pada 22 Jun manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Pada 24 Mei lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dilapor meninggal dunia selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 1:01 PM