Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai depan.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 22 Jun manakala bagi pengundian awal, tarikh yang ditetapkan ialah 2 Julai.

Beliau berkata, tempoh berkempen, ditetapkan 14 hari bermula pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 22 Jun sehingga jam 11.59 malam, 5 Julai.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Pada 24 Mei lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dilapor meninggal dunia selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi.

AZMI (empat kiri) pada sidang media PRK Sungai Bakap. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
AZMI (empat kiri) pada sidang media PRK Sungai Bakap. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 12:11 PM