JOOHARI diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
JOOHARI diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Tindakan Kerajaan Perpaduan menamakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai calon yang mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, disifatkan sebagai satu game changer atau pengubah keadaan.

Penganalisis politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berpandangan, Dr Joohari mempunyai nilai calon menang yang boleh merampas semula kerusi Sungai Bakap daripada PAS pada 6 Julai nanti, susulan sokongan penyokong Umno.

"Latar belakang seperti anak jati kawasan tersebut amat penting dan Joohari dikenali sebagai seorang pendidik. Jadi, pengalaman sebagai guru dan aktivis kemasyarakatan itu penting untuk menarik pengundi.

"Tetapi yang lebih menarik adalah Joohari dianggap sebagai orang baharu dalam arena politik, tidak terkait sangat dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kes ini.

"Ini boleh memberikan tarikan kepada pengundi Melayu yang sebelum ini berkemungkinan lebih cenderung menyokong calon daripada Pas," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Semalam, Kerajaan Perpaduan mengumumkan Dr Joohari sebagai calon mewakili gabungan itu untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, Joohari yang lahir di Permatang Pasir, Seberang Perai dan membesar serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, dipilih menjadi calon selepas mendapat restu semua pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, seseorang calon yang tidak terkait dengan 'orang politik' mempunyai daya tarikan penting kerana dianggap sebagai orang yang 'neutral' politik.

"Bukan sahaja dia mampu menarik pengundi Melayu, (tetapi) pengundi bukan Melayu juga tidak ada masalah," katanya.

Penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berkata, Dr Joohari adalah calon terbaik yang berjaya ditonjolkan Kerajaan Perpaduan, berdasarkan latar belakang dan pendidikannya.

Bagaimanapun katanya, ia juga bakal menjadi cabaran buat Perikatan Nasional (PN) dalam meletakkan calon yang mempunyai penanda aras yang sama.

"Saya kira apabila dambakan calon terbaik, itu juga satu cabaran kepada PN supaya mempunyai penanda aras yang sama," katanya.

Menurutnya lagi, apa yang diperlukan oleh Dr Joohari kini adalah jentera pilihan raya yang bersepadu, hasil kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Sebab kita tahu undi Melayu merupakan undi majoriti di Sungai Bakap. Mereka perlu sekurang-kurangnya menarik minimum 35 peratus undi Melayu untuk menang di situ.

"Jadi, perlunya kerjasama yang lebih baik, kempen yang menggunakan pelbagai pendekatan, bukan sahaja menggunakan media sosial, tetapi pendekatan konvensional untuk menarik pengundi putih dan juga atas pagar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:54 PM