GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Perikatan Nasional (PN) sudah memuktamadkan calon untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan negeri (Dun) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 6 Julai ini.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata, calon yang akan bertanding adalah daripada PAS dan pengumuman akan diadakan pada Sabtu ini.

Katanya, calon yang akan ditampilkan sudah melalui beberapa proses sebelum dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) PAS.

"Kita dimaklumkan, calon PAS yang akan bertanding di Dun Sungai Bakap akan diumumkan Sabtu ini.

"Calon yang dipilih oleh PAS untuk bertanding adalah pemimpin parti daripada Pulau Pinang," katanya dihubungi, hari ini.

PRK Dun Sungai Bakap diadakan berikutan kekosongan kerusi luar jangka apabila penyandang kerusi, Nor Zamri Latiff, meninggal dunia akibat keradangan dalam perut, 24 Mei lalu.

Razali bagaimanapun enggan mengulas lanjut nama calon yang sudah dimuktamadkan PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 1:05 PM